PKR menerima semula tiga bekas ahli Parlimennya, menurut sumber, ketika parti itu berdepan tekanan susulan tindakan beberapa wakil rakyatnya meninggalkan parti.

Malaysiakini difahamkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR meluluskan rayuan bekas Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara, bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaffar dan bekas Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong, pada mesyuaratnya 27 Sept lalu.

Kamarudin dan Santhara meninggalkan PKR ketika Langkah Sheraton pada Februari 2020 sebelum menyertai Bersatu.

Choong pula meninggalkan PKR pada Februari 2021 untuk menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin, sebagai ahli Parlimen bebas.

Surat yang dilihat Malaysiakini mengesahkan keahlian mereka dipulihkan, sekali gus membolehkan mereka kembali menjalankan aktiviti parti mengikut perlembagaan serta peraturan PKR.

Bagaimanapun, surat itu menyatakan penerimaan semula keahlian tidak mengubah pendirian parti berhubung bon yang ditandatangani sebelum Pilihan Raya Umum 2018.

“Bagaimanapun, dasar parti kekal tidak berubah berhubung tanggungjawab terhadap bon yang anda tandatangani pada 24 April 2018.

“Sebarang perkara yang timbul berkaitan perkara ini tertakluk kepada perbincangan antara anda, Bendahari Agung dan Presiden,” menurut surat itu.

Bon berkenaan merujuk kepada aku janji yang diwajibkan PKR untuk ditandatangani calon parti menjelang pilihan raya. Di bawah aku janji itu, calon yang menang boleh dikenakan bayaran RM10 juta sekiranya mereka meninggalkan parti, menyertai parti lain atau menjadi ahli Parlimen bebas tetapi masih mengekalkan kerusi yang dimenangi.

Aku janji itu diuji dalam saman PKR terhadap bekas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Pada Disember 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bahawa Zuraida telah melanggar bon berkenaan, tetapi mengurangkan jumlah yang perlu dibayar daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Mahkamah Persekutuan pada 14 September lalu menangguhkan keputusan berhubung rayuan PKR terhadap pengurangan jumlah tersebut.

Penerimaan semula tiga bekas wakil rakyat itu berlaku selepas bekas Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar, mengesahkan pada Ogos bahawa dia kembali menyertai PKR susulan pelawaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, kepada bekas anggota parti untuk menyertai semula parti itu.

Bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, turut menyatakan hasrat untuk kembali kepada parti itu.

Malaysiakini telah menghubungi Santhara, Kamarudin, Choong dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, untuk mendapatkan ulasan.

Kepulangan mereka berlaku ketika empat Ahli Parlimen yang dipilih atas tiket PKR — Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang) — mengumumkan keluar parti serta meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen.

Pengarah Strategi PKR Selangor, Yahya Shaari, dalam kenyataan berkata keputusan empat wakil rakyat itu tidak bermakna Anwar atau kerajaan Madani telah kehilangan mandat rakyat.

“Anwar sebagai perdana Menteri perlu terus diberikan ruang dan sokongan untuk menumpukan perhatian kepada agenda yang jauh lebih besar — ekonomi negara, kos sara hidup, peluang pekerjaan, reformasi institusi, tatakelola, pelaburan, pendidikan, kebajikan rakyat dan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Perbezaan politik dalam sesebuah parti adalah sesuatu yang boleh berlaku. Tetapi jangan biarkan perbezaan dalam parti menjadi gangguan kepada kestabilan kerajaan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai pengunduran itu, anggota Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, awal hari ini menggesa supaya pilihan raya umum diadakan lebih awal bagi mengembalikan mandat kepada pengundi ketika penggal Parlimen menghampiri tahun keempat.