Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) beberapa bulan lepas menunjukkan banyak kereta persendirian di Pulau Pinang bercermin gelap. Kami percaya kebanyakan pemandu ini telah diyakinkan oleh kedai aksesori kereta supaya memasang cermin gelap.

Tingkap penting untuk melindungi penumpang daripada panas terik matahari. Ia menapis sinaran ultraungu menjadikan pemanduan lebih selesa. Bagaimanapun, kenderaan bercermin gelap lebih mudah terdedah kepada perlanggaran bahagian belakang.

Cermin gelap cenderung menghalang pandangan lebih jauh keadaan lalu lintas kenderaan di belakang. Kereta yang mengikutinya tidak mampu untuk bertindak dengan segera terhadap halangan di jalan raya serta lambat untuk bertindak terhadap sebarang situasi.

Kecekapan mereka dalam membrek juga lemah dan kenderaan bercermin gelap sering dalam kebanyakan kes sering dilanggar dari belakang.

Ini merupakan alasan kenapa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah meluluskan atau memperakui sebarang produk cermin gelap. Paras cermin gelap yang dibenarkan hanya 70 peratus (cermin depan) dan 50 peratus (cermin belakang dan tingkap tepi).

Sehubungan itu, CAP menggesa Bahagian Penguatkuasa JPJ supaya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang dipasang dengan tingkap dan cermin gelap.

Kedai aksesori yang menyediakan perkhidmatan itu juga perlu dikawal dan didaftarkan dengan JPJ dalam usaha untuk memastikan kedai-kedai ini mematuhi undang-undang.


Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)   

ADS