Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Saya ingin melahirkan kekecewaan kepada pihak pentadbiran UUM di atas apa yang berlaku sewaktu majlis perasmian konvokesyen yang baru sahaja bermula beberapa hari yang lepas.

Anak saya ada menceritakan pihak universiti telah menjemput artis luar bagi membuat persembahan pada malam perasmian konvokesyen tersebut.

Apa yang mengecewakan saya adalah keadaan dan suasana pada malam tersebut amatlah teruk terutama sekali sewaktu persembahan artis itu berlansung. Dengan keadaan siswa dan siswi yang tidak terkawal, bercampur gaul, melaung, melalak dan terkinja-kinja. Lansung tidak mencerminkan suasana di sebuah universiti yang seharusnya dipenuhi dengan program-program  yang bersesuaian dengan tarafnya sebuah universiti.

Saya juga difahamkan pihak universiti telah menghabiskan duit berjumlah beribu-ribu ringgit semata-mata untuk menjemput artis-artis dari luar bagi membuat persembahan di sepanjang ekspo konvokesyen berlansung.

Alangkah baiknya jika wang tersebut digunakan untuk perkara yang memberi manfaat kepada pelajar. Apakah hasil yang diperolehi oleh universiti dan  pelajar dengan mendatangkan artis-artis tersebut? 

Tidakkah ia menambahkan lagi barah gejala sosial dalam kalangan siswa dan siswi? Mengapa tidak dijemput artis-artis yang mampu memberi kesan yang baik dan positif kepada mahasiswa walhal ramai lagi artis-artis di luar sana yang boleh dijadikan contoh untuk diikuti.

Sebagai seorang ibu, saya berasa sangat kecewa dengan pentadbiran UUM yang sepatutnya memberikan peluang kepada anak saya untuk mengambil semangat konvokesyen daripada senior-senior sebagai satu motivasi kepada anak saya yang masih baru di alam universiti.

Saya bimbang jika perkara ini tidak dikawal akan memberi kesan yang negatif bukan sahaja kepada anak saya bahkan kepada seluruh pelajar lain di UUM.

Saya dan seluruh keluarga meletakkan harapan yang tinggi kepadanya agar dapat menjadi seorang pemimpin yang baik pada suatu masa nanti, kerana dialah satu-satunya anak saya yang dapat menjejakkan kaki ke menara gading.

Saya berharap agar pihak pentadbiran UUM mengambil serius akan keluhan seorang ibu. Saya juga berdoa supaya anak saya menjadi insan yang banyak menyumbang kepada universiti, seterusnya dapat mencapai hasrat universiti yang ingin menjadi universiti pengurusan terkemuka pada suatu hari nanti.

Ibu kecewa,

Sabak Bernam, Selangor.

ADS