Sekali lagi berdepan siasatan di bawah Akta Hasutan tidak melemahkan semangat Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, untuk terus bersuara.

Sehari selepas dipanggil ke Bukit Aman untuk siasatan berhubung sajak nukilannya, “Patik Tak Rela”, veteran PKR itu menegaskan undang-undang tersebut merupakan warisan era kolonial bagi menekan penentang penjajah British.

“Kalau kita belajar undang-undang, kesalahan (secara am) itu ada dua sahaja.

“Satu, actus reus, perbuatan dia. Dia bercakap. Yang kedua, niat dia. Dalam bahasa undang-undang, dipanggil mens rea,” jelas Hassan yang juga merupakan seorang peguam.

“Tetapi dalam Akta Hasutan ini, niat itu tidak relevan. Dan ini sangat berbahaya bagi ahli politik,” tegasnya.

Pemimpin lantang PKR itu melalui satu hantaran di Facebooknya Sabtu lalu menukilkan sajak yang dipercayai merujuk kepada tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.

Melalui sajak itu, Hassan secara jelas membantah titah Yang di-Pertuan Agong berhubung tahanan rumah kerana menganggap keputusan tersebut tidak adil.

Pada 11 Nov lalu, Najib mula menjalani tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Ia selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di kediamannya sehingga 23 Ogos 2028, berkuat kuasa serta-merta.

Semalam, Hassan hadir ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, bagi membantu siasatan berkaitan.

Hassan hari ini turut dilihat menerima sokongan daripada ahli-ahli parlimen pembangkang dan kerajaan, ketika ditemui berhampiran kafe parlimen tengah hari ini, sejurus selepas sidang sesi pagi ditangguhkan.

“Teruskan perjuangan, YB,” kata Ahli Parlimen Sik, Tarmizi Sulaiman, ketika menghampiri dan bersalaman dengan Hassan.

Turut dilihat menegur Hassan, Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan dan Timbalan Menteri Kesihatan, Hanifah Hajar Taib.

Selain daripada ahli-ahli parlimen, Hassan didampingi oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Freddie Fernandez yang menemuinya buat kali pertama untuk membincangkan isu-isu berkaitan industri seni tanah air.

“Saya rasa kebebasan untuk bersuara dan menyuarakan pandangan itulah asas Reformasi.

“Jadi saya harap kebebasan itu diamalkan dan kita tidak kembali kepada cara lama pada 1948,” kata Fernandez, merujuk kepada tahun Akta Hasutan diperkenalkan.