Di sebalik pengumuman bahawa Ismail Lasim sudah melepaskan jawatannya semalam, ada sumber lain mendakwa Adun Juasseh itu sebenarnya tidak berbuat demikian.

Malah, dakwa sumber terbabit, Ismail tidak menyerahkan sebarang surat kepada pihak istana.

"Setakat ini, perkara itu (peletakan jawatan) tidak berlaku.

“Beliau tidak meletak jawatan atau menyerahkan sebarang surat (peletakan jawatan) kepada pihak istana," dakwa individu tersebut yang enggan namanya didedahkan.

Malam tadi, Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, mengeluarkan kenyataan mengumumkan peletakan jawatan Ismail. Menurut Zambry, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, menerima salinan surat peletakan jawatan menteri besar itu yang bertarikh 16 Nov dan ditujukan kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Ismail atas khidmat yang diberikan sebelum ini, Zambry berkata Ahmad Zahid yang juga merupakan timbalan perdana menteri akan mengemukakan calon bagi jawatan tersebut kepada Tuanku Muhriz.

Bagaimanapun, pagi tadi Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa pihak istana masih belum mengesahkan kesahihan surat peletakan jawatan tersebut.

Menurut pihak istana, surat itu hanya dihantar ke Istana Hinggap di Seremban pada jam 12.16 pagi tadi oleh wakil sebuah firma guaman.

Pihak istana menegaskan bahawa sebarang peletakan jawatan oleh menteri besar mesti diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar dan hanya akan berkuat kuasa dengan perkenan baginda.

Zambry Abd Kadir.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Ismail, Zambry, dan Ahmad Zahid untuk mendapatkan ulasan.

Petang ini, satu tangkap layar Instagram Story – yang didakwa dimuat naik oleh seorang anak Ismail – telah tular di media sosial mempersoalkan keadaan di sebalik pengumuman mengenai peletakan jawatan menteri besar tersebut.

"Siapa yang keluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan sendiri yang membuat kenyataan tersebut?

"Kalau bukan, atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?" kata hantaran tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi individu berkenaan untuk mendapatkan komen

Sementara itu, BN dilaporkan telah mengemukakan satu nama kepada istana Negeri Sembilan untuk dipertimbangkan sebagai pengganti Ismail.

"Setakat ini, saya hanya mengemukakan satu nama," kata Ahmad Zahid seperti dipetik Sinar Harian di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, Presiden Umno itu tidak mendedahkan siapa calon berkenaan.

Dia turut menafikan khabar angin bahawa Umno telah mengarahkan Ismail untuk meletak jawatan. Menurutnya, menteri besar itu memutuskan untuk meletak jawatan "atas kehendak sendiri".

"Beliau tidak memberikan sebarang sebab. Mungkin beliau merasakan isu ini perlu diselesaikan secepat mungkin," kata Ahmad Zahid.