Keputusan kerajaan memperbaharui pajakan tanah Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) selama 99 tahun dengan caj premium nominal RM1,000 menjadi satu lagi titik pertikaian antara Umno, PAS dan DAP.

Pengkritik mempersoalkan keputusan kerajaan mengurangkan premium tanah tersebut daripada anggaran asal RM4.67 juta, selain hujah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh bahawa langkah itu dibuat kerana tanah dewan berkenaan berstatus warisan dan tidak boleh dibangunkan secara komersial.

Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)

Dalam pengumumannya pada malam Sabtu sempena majlis makan malam ulang tahun ke-103 KLSCAH, Yeoh turut memaklumkan kadar cukai tanah tahunan ditetapkan pada RM3,151.

Bernama melaporkannya sebagai berkata keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan Madani dalam memelihara warisan serta mercu tanda bersejarah di Kuala Lumpur.

Menurutnya, usaha berkenaan merangkumi kajian yang sedang dijalankan bagi memulihara kampung tradisi Melayu di Sungai Penchala, termasuk Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan.

Ketika diminta menjelaskan rasional kadar premium baharu itu pada Isnin, timbalan setiausaha agung DAP tersebut berkata perkara itu diputuskan kerana KLSCAH diwartakan sebagai bangunan warisan pada 2007 dan tidak mempunyai nilai pembangunan komersial memandangkan ia tidak boleh dimajukan sebagai kondominium atau pusat beli-belah.

Bangunan KLSCAH

Dia juga menyatakan keputusan itu adalah hasil rayuan KLSCAH, yang mana pertubuhan bukan berasaskan keuntungan tersebut mengemukakan faktor sejarah panjang serta status warisannya.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh memuat naik video di Facebook mempersoalkan bagaimana pengurangan kadar premium sedemikian boleh diwajarkan ketika ramai penduduk perumahan awam di Kuala Lumpur berisiko diusir kerana tidak mampu membayar sewa.

Dia berkata dana RM4.6 juta itu sebaliknya boleh digunakan untuk memberi pengecualian bayaran sewa sementara kepada penduduk terbabit.

Dalam hantaran berasingan, Akmal turut membidas dakwaan bahawa tanah KLSCAH "tiada nilai".

Senada dengan ketua pemuda Umno itu, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dalam kenyataan hari ini menegaskan hanya kerana hartanah berkenaan tidak boleh dibangunkan secara komersial, ia tidak bermakna aset tersebut tidak bernilai.

Sayap pemuda PAS itu turut mempersoalkan sama ada dasar serupa akan diguna pakai terhadap tapak warisan lain di ibu negara, serta kewujudan mekanisme tadbir urus yang wajar bagi memastikan pemuliharaan dan pengurusan tapak berkenaan terjamin.

Kenyataan itu menekankan bahawa walaupun pihaknya menghormati nilai warisan KLSCAH dan tidak mempertikaikan sumbangan masyarakat Cina, ketelusan tetap diperlukan berhubung keputusan tersebut.

Antara pengkritik lain ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara Teo Kok Seong, yang menyifatkan pengurangan kadar itu sebagai tidak munasabah dan berpotensi mencetuskan kontroversi.

Teo Kok Seong, Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Menjawab kritikan berkenaan, Yeoh dalam satu kenyataan mempertahankan keputusan itu dengan menjelaskan KLSCAH merekodkan defisit operasi tahunan sekitar RM400,000 akibat peningkatan kos penyelenggaraan, struktur bangunan yang semakin usang serta keperluan mendesak untuk menaik taraf ciri keselamatan dan kemudahan teknikal.

Dia juga menegaskan diskaun itu tidak menjejaskan kebajikan warga kota, sambil merujuk pemberian diskaun sewa 50 peratus selama dua tahun kepada peniaga di Kuala Lumpur serta kadar tapak bazar Ramadan yang disifatkannya sebagai terendah di negara ini.

"Di Kuala Lumpur, kita jaga semua tak kira kaum atau agama,” katanya.

Dia turut menuduh pengkritiknya cuba mempolitikkan isu itu secara perkauman selain membidas rekod lampau Umno dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan PAS semasa mentadbir ibu negara.

“Kalau nak cerita pasal sejarah tanah di Kuala Lumpur, rekod jelas menunjukkan Umno ini pernah jual padang rakyat. Kolam takungan banjir pun mereka jual.

“PAS pula bagaimana? Zaman pemimpin mereka mentadbir bawah Perikatan Nasional di KL, mereka mempertahankan penjualan padang rakyat sampai pacak tiang di tengah-tengah padang bola sepak rakyat.

“Apa solusi mereka untuk banjir di KL? Beg-beg pasir. Pemimpin dan aktivis yang menunggang kaum dan agama di KL pun hampir sama - mainkan isu sebab saya Menteri Cina, saya Menteri DAP. Itu saja,” katanya.