Terlebih dahulu pastinya saya berterima kasih kepada reaksi-reaksi yang dikemukakan oleh para sahabat terhadap surat saya terdahulu. Namun begitu, perlu dinyatakan amat malang sekali kerana reaksi-reaksi itu bukan boleh memperbaiki, tetapi akan merosakkan sama sekali gerak kerja parti PAS, yang akhirnya akan meruntuhkan perjuangan parti ini.
Saya merujuk kepada reaksi Siasah 2004, yang meminta supaya alatan muzik gitar dihalalkan sekejap. Saya tidak pasti sama ada si penulis ini benar-benar serius mengemukakan hujahnya atau main-main. Apakah Siasah 20004 ingat hukum halal-haram itu macam main 'yo-yo'? Hari ini boleh halal, esok ditarik balik jadi haram?
Hal ini samalah dengan percubaan merasionalkan jawapan Dewan Pemuda PAS (DPP) oleh Kelantan72. (Walaupun dia menggunakan nama samaran macam saya, saya yakin beliau orang rapat DPP).
Ini semua saranan-saranan yang akan merosakkan imej parti ini. Orang akan anggap hukum-hakam dalam PAS macam biskut sekejap ada, sekejap tidak ada. Hari ini macam ini, esok berubah lagi.
Walau macammanapun percubaan untuk mengambil hukum halalnya gitar dan harmonika sebagai asas penghujahan, nampaknya tetap sangat longgar. Kelantan72 tidak perlu mengajar kita semua tentang ketiadaan nas qatie mengenai alatan muzik tersebut. Yang lebih penting, kemukakan nas yang meletakkan konsep alat muzik itu dalam Islam.
Untuk mengeluarkan sesuatu hukuman, Islam telah meletakkan asas yang sangat cantik. Ada konsepnya, ada metodologinya, ada penghujahannya dari segi pro and con. Dari segi konseplah pentingnya merujuk kepada al-Quran dan Hadis.
Sebagai contoh, mengapa perlu ada hukum sembelihan, kerana kaitannya dengan kebersihan bahan makanan.Tanpa berhasrat menyinggung pembaca bukan Islam, saya berikan contoh mengapa umat Islam sangat berhati-hati dengan isu halalnya makanan, khususnya penggunaan gelatin (lemak babi) dalam sesuatu jenis makanan yang heboh diperkatakan hari ini.
Sebab darinya akan terhasil protein. Melalui pembacaan saya, secara saintifik sudah diketahui protein sebahagiannya akan membentuk DNA. Daripada DNA akan terhasil baka manusia. Kita pastinya tidak mahu anak-cucu kita lahir dari protein babi. Sebab itulah kita berhati-hati.
Samalah halnya dengan penggunaan alatan muzik bising itu. Perlu dilihat secara terperinci, bukannya pakai rasa sahaja, macam pandangan Siasah 20004.
Kita telah buktikan bahawa tanpa perancangan rapi, dan kurang bersedia dengan hujah ilmu yang kukuh, beberapa dasar kita hanya menjadi kecaman masyarakat, kerana dianggap ingin memperbodohkan mereka.
Dasar memisahkan jantina di pasaraya nampaknya gagal. Bukan sahaja realitinya kita tidak mungkin memisahkan manusia, tetapi apa yang kita buat macam berlawanan dengan sunnatullah.
Kalau mengikut Kelantan72, di pasar orang bercampur gaul, begitu juga kata pengkritik, di Baitullah pun sewaktu tawaf Allah SWT izinkan lelaki perempuan bercampur, inikan pula di pasaraya.
Kita juga pernah menguatkuasakan fatwa suara perempuan aurat, sedangkan dalam masa yang sama lelaki berambut panjang kita izinkan bermain gitar di markas kita. Bukankah nampak macam dasar-dasar ganjil dan kontradiksi antara satu sama lain?
Khususnya kepada Kelantan72, saya ingin memberikan ingatan ini. Bahawa, PAS selama ini tidak menarik ahlinya dengan cara main muzik, cara konsert macam yang DPP buat tu. Kita ada cara kita dan identiti kita menarik ahli-ahli, termasuklah orang muda.
Saya boleh terangkan metodologinya, pastinya bukan di sini. Namun, konsepnya adalah semua orang inginkan agama. Itu fitrah manusia. Kita mengutarakan agama sebagai panduan, dengan cara tertentu orang akan tertarik pastinya.
PAS mempunyai satu perjuangan yang berakar pada Islam. Pastinya kita meletakkan Islam di hadapan tanpa melupakan bangsa kita. Saya menyeru kepada pucuk pimpinan PAS, sudah sampai masanya kita memberikan tazkirah kepada orang muda kita mengenai asas dan sejarah perjuangan PAS.
Seperti orang Umno, orang muda kita mudah lupa. Saya terbayangkan, sekiranya arus sekarang sedang hangat hendak menyambut Anwar Ibrahim, nanti ada lagi orang kita yang terlalai dan terpesona.
Kita semua tahu, dalam temu ramah CNN, Anwar seorang yang liberal. Beliau menyanyikan lagu Cliff Richard atau Paul Anka, bukannya bernasyid mahupun berqasidah, untuk menghiburkan hatinya. Inilah idola orang muda kita hari ini.
Nampaknya, sebahagian mereka telah lupa kepada perjuangan PAS yang juga sebahagian daripada sejarah panjang perjuangan pertubuhan-pertubuhan Islam mendaulatkan agama di muka bumi ini.
Kalau mengikut pemikiran Dewan Pemuda PAS dan Kelantan72 itu, nantinya orang muda yang sedia ada dalam PAS pun akan teringat-ingatkan lagu Papa Rock, Ramli Sarip bukannya zikrullah lagi.
