Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya semakin keliru dengan gelagat parti PAS yang memperjuangkan Islam. Terbaru adalah penganjuran konsert oleh Pemuda PAS di Taman Melewar di pentas yang sama di mana Presiden PAS, Al-Fadhil Haji Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sentiasa memberikan ceramah mereka saban bulan.

Pentas yang begitu nostalgia itu, di mana Almarhum Ustaz Fadhil Noor setiap masa memberi ceramah rohani, kini telah dihalalkan sebagai tempat berlangsungnya konsert anjuran Pemuda parti ini.

Di manakah pegangan kalangan tua dan ulama kita selama ini? Bukankah muzik harmonika itu telah nyata haramnya kerana terdiri daripada peralatan muzik yang ditiup? Begitu juga dengan peralatan gitar elektrik yang muziknya sangat nyaring.

Sekiranya pihak Pemuda cuba menghalalkannya, dengan alasan hukumnya masih dalam perbincangan ulama mengenai boleh tidaknya, bagaimanakah pula dengan suasana bising muzik itu yang mengganggu masyarakat dan kejiranan Taman Melewar ini?

Perlu kita ingat bahawa kawasan markaz kita ini di kelilingi taman-taman perumahan. Mereka selama ini tidak mempunyai sebarang masalah kerana kita sentiasa mengalunkan irama syahdu ayat-ayat al-Quran dan ceramah agama Tuan Guru kita. Sebab itulah mereka tidak ada sebarang bantahan terhadap kita.

Tetapi, kononnya atas dasar meliberalkan pegangan orang-orang kita, disebabkan tekanan orang-orang muda dalam parti kita, kita telah menggadaikan kepercayaan ahli-ahli parti yang tulen dengan mengizinkan permainan alat-alat muzik syaitan di tempat yang suci itu.

Kalau dulu kitalah yang menjadi juara menentang kemungkaran Barisan Nasional dengan konsert-konsertnya, kini kitalah yang akan dihentam. Sekurang-kurangnya mereka mengadakan konsert jauh dari kawasan kediaman. Kita pula mengadakan konsert - apa pun yang dipanggil dengan menggunakan alatan muzik yang bising di dalam 'masjid' dan di atas pentas suci itu.

Harapan saya, sebelum dasar-dasar parti kita tidak dipercayai ahli-ahli lagi, hapuskanlah gejala mungkar yang cuba menyerap ke dalam parti ini, sesegera mungkin.

Sekiranya sekali lagi hal ini berlaku, saya mungkin antara ahli pertama yang akan keluar daripada parti.

ADS