Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya amat bersetuju dengan surat yang dituliskan oleh saudara Ahmad Akmal Letter writers, do more than just write . Seperti saudara Ahmad, saya juga merasakan bahawa terdapat ramai di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum yang tidak bersetuju dengan falsafah politik dan kepimpinan parti pemerintah.

Saya bersetuju juga bahawa alternatif kita juga bukannya terletak pada parti pembangkang yang kononnya bertopengkan 'Islam' tetapi ternyata fahaman 'Islam' yang dibawanya lebih terjurus kepada kediktatoran ala Taliban atau Iran.

Alternatif kita juga bukannya terletak pada lagi satu parti pembangkang yang sebenarnya didalang oleh bekas pemimpin dari parti pemerintah yang masih hipokrit dan menggunakan tipu helah untuk mendapat sokongan dari akar umbi mahupun media antarabangsa.

Saya amat teruja dengan cadangan saudara Akmal bahawa kita semua perlu menyuarakan pendirian kita bukan sahaja di dalam menulis surat, tetapi di peti undi pada pilihanraya kelak. Kita perlu lebih berani memilih calon-calon yang berwibawa dan yang mencerminkan aspirasi kita yang sebenar sebagai rakyat Malaysia yang cintakan nilai-nilai toleransi, demokrasi dan saling menghormati.

Namun, saya ingin melanjutkan sedikit analisis saudara Akmal ini. Katakanlah pada pilihanraya yang akan datang, anda perlu mengundi di kawasan 'straight fight', dan pilihan anda adalah sama ada calon parti pemerintah yang berteraskan perkauman atau parti pembangkang yang bertopengkan 'Islam': Apakah pilihan sebenar anda?

Memilih antara kedua-duanya adalah ibarat mahu memilih untuk dibunuh secara sula atau direjam dengan batu. Matlamat kedua-dua parti sama sahaja sekarang, hanya logonya sahaja yang berlainan.

Apa yang perlu kita buat dalam keadaan yang begini? Saya percaya kita tidak boleh putus asa. Sebagai rakyat sebuah negara berdemokrasi, kita masih perlu melaksanakan tanggungjawab kita dan keluar mengundi. Namun, jika kita tidak suka pilihan yang ada, adakah itu salah kita? Kita tahu bahawa sistem politik di negara ini tersangatlah berat sebelah dan kerapkali tidak masuk akal.

Jadi apa kita boleh buat? Kita rosakkan undi kita. Itu sahaja. Itu adalah undian protes kita.

Bayangkan, jika sesuatu parti itu (sama ada parti perkauman pemerintah atau parti pelampau 'Islam') 'menang' di sesuatu kawasan, tetapi peratus undi rosak di kawasan itu berjumlah sebanyak 50 peratus. Apa maksudnya? Maksudnya, kemenangan calon tersebut hanya disokong oleh kurang daripada 50 peratus pengundi di situ. Sebanyak 50 peratus lagi yang merosakkan undi mereka sebenarnya menyuarakan pendirian seperti berikut: "Kami rakyat Malaysia, kami mahu mengundi, tetapi kami amat jijik dengan semua calon yang bertanding di sini. Mereka sama sekali tidak mencerminkan cita-cita kami. Jadi kami tidak mahu memilih mereka."

Undi protes sebegini amatlah simbolik dan boleh kita gunakan untuk merombak corak kepimpinan di negara ini. Bayangkan jika jumlah undi rosak dalam pilihanraya pada peringkat kebangsaan adalah sebanyak 40 peratus atau 50 peratus. Ia akan menjadi tamparan yang hebat kepada mana-mana parti yang 'menang' kerana 'kemenangan' mereka ternyata tidak bermakna.

Saya akui, ini bukanlah suatu strategi untuk situasi yang ideal. Tetapi kita di Malaysia sekarang sudah berada jauh dari situasi yang ideal. Rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi dan toleransi perlu menerokai strategi-strategi lain untuk menuntut hak kita dalam persekitaran politik yang semakin menggugat hak-hak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS