Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Membaca tulisan Ariff Wahab dari Kelab Penyelidik Politik Melaysia (KPPM) dan jawab balas kolumnis malaysiakini Dr Azly Rahman bertajuk We've drawn a blank with UUM why? saya sebagai seorang pensyarah muda UUM turut berminat mengikuti perbahasan ini.

Saya tidak sempat mengenali Dr Azly tetapi mengetahuinya daripada pensyarah. Dr Azly dan isterinya Dr Mutiara adalah seorang yang hebat dan selalu berfikir dengan kritis. Mungkin UUM akan mengalami perubahan besar jika beliau kembali ke sini kerana kebanyakan pensyarah UUM nampaknya tidak mampu berfikir kritis dan saintifik.

Pensyarah senior juga nampak hanya bekerja untuk pangkat dan kedudukan. Dengan kata lain, tidak memberi tumpuan kepada penyelidikan, perkara asas yang menjadi nadi kepada pembangunan universiti.

Dalam perbualan saya dengan rakan-rakan senior, kebanyakan mereka hanya bercakap mengenai usaha untuk mendapat kenaikan gaji ke peringkat DS52, sedangkan penyelidikan tidak ke mana.

Yang ada hanyalah beberapa buku yang diringkaskan daripada buku-buku lain dan journal yang tidak boleh memberi `insight' kepada khalayak pembaca. Jika Dr Azly ada di UUM, universiti itu akan kembali bersinar dan menjadi universiti tersohor.

Apakah ada pemikiran hebat daripada pensyarah UUM? Tetapi saya juga tertanya-tanya apakah Dr Azly berbelanja sehingga RM1.4 juta untuk belajar di Amerika Syarikat dan apakah berbaloi kerajaan membelanjakan sebanyak itu untuk hanya menyiapkan PhDnya?

Jika RM1.4 juta diberikan kepada seorang usahawan muda, tentu dalam dua tahun, usahawan berkenaan sudah menjadi kaya-raya dan boleh mengeluarkan zakat dan memberikan cukai pendapatan kepada kerajaan.

Oleh itu, kerajaan juga patut disalahkan dalam isu ini kerana telah memberikan sejumlah wang yang besar kepada seorang hanya untuk beliau menyiapkan PhDnya, selain mewajibkan kakitangan menandatangani akujanji.

Jika ada 100 PhD yang kerajaan biasiswakan, bermakna kerajaan membelanjakan RM140 juta. Manakah lebih bijaksana kerajaan membelanjakan wang itu untuk tujuan lain seperti memberikan pinjaman kepada orang miskin untuk memulakan perniagaan supaya akhirnya mereka dapat berdikari.

Kerajaan nampaknya terlalu baik kepada kakitangannya yang kebanyakan bangsa Melayu. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana terpilih sebagai pensyarah dengan kelulusan sarjana, kerana saya kini sudah mendapat gaji pada gred DS45, yang membolehkan saya membina banglo dengan mengajar hanya enam jam seminggu.

Saya mungkin tidak boleh menjadi seperti Dr Azly yang sanggup tidak menandatangani akujanji, kerana saya mementingkan keluarga yang hendak makan dan banglo serta kereta yang harus saya bayar setiap bulan.

ADS