Himpunan 10 Nov: KJ, biadap dan tidak rasional

Himpunan Aman pada Sabtu, 10 November di Dataran Merdeka anjuran Bersih akan tetap diteruskan. Walaupun pihak penganjur menerima begitu banyak ancaman, namun tuntutan massa rakyat memberikan laluan untuk perhimpunan ini terus berjalan. Beberapa orang ahli jawatankuasa Bersih juga telah dipanggil ke Bukit Aman pada 12 November ini.

Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda Umno, pula telah mengarahkan pihak polis membuat tangkapan terhadap pimpinan dan peserta himpunan. Arahan ini adalah suatu yang biadap dan tidak rasional kerana himpunan ini adalah hak dan kebebasan rakyat. Rakyat berhak berada di mana sahaja mereka berada dan Pemuda Umno tidak berhak untuk menghalang perhimpunan ini.

Ketakutkan semakin terserlah di wajah pimpinan Umno kerana himpunan ini. Khairy yang pada mulanya mencadangkan untuk pemuda Umno turun berdepan dengan himpunan Bersih ini akhirnya mengaku kalah dalam ucapan yang sama dan mengakui bahawa pemuda Umno tidak mampu berhadapan dengan 100,000 rakyat.

Oleh itu, beliau tiada pilihan dan kemungkinan besar polis akan dijadikan kuda tunggangan mereka bagi menghadapi peserta himpunan aman ini.

Kepada pihak polis, kami mengingatkan agar mereka tidak membiarkan diri mereka diperkudakan lagi. Ini adalah himpunan rakyat, dan pihak polis juga dialu-alukan bagi menyertai rakyat dalam himpunan ini atas jiwa mereka sebagai rakyat yang prihatin terhadap masa depan negara ini.

Diperingkat PAS pula, seramai 2,000 orang petugas Unit Amal Malaysia yang beruniform dan tidak beruniform akan berkawal bagi memastikan tiadanya provokasi dan kekecohan yang boleh memburukkan imej perhimpunan ini. Kita datang dengan aman dan Unit Amal akan membantu kita.

Jika ada kalangan peserta yang cuba melakukan provokasi seperti membawa bendera parti politik, melaungkan kata-kata yang kesat, membaling atau menggunakan apa-apa objek yang boleh membahayakan orang lain, mereka akan dikeluarkan dari perhimpunan ini serta merta atau diserahkan kepada pihak polis jika perlu.

Kita yakin, bahawa terdapatnya konspirasi terancang bagi mensabotaj himpunan ini dan kita juga telah bersiap sedia bagi menghadapi perhimpunan ini.

Kepada peserta perhimpunan yang masih ragu lagi, pihak penganjur juga telah menyediakan barisan peguam yang cekap untuk menjamin dan membela anda sekiranya ditangkap. Para peguam ini akan membantu dan membela hak anda sesuai dengan peruntukan Perlembagaan. Oleh itu tiada sebab untuk kita tidak hadir dan tunduk pada ancaman yang kini semakin tersebar luas.

Pastikan anda hadir dengan aman dan segalanya akan berjalan secara aman!
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.