Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan memanggil seorang pembantu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh untuk memberi keterangan berhubung kontroversi pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Dalam laporannya pada 25 Nov, Sin Chew Daily memetik beberapa sumber tanpa nama yang berkata pembantu itu dipanggil untuk memberi keterangan pada 26 Nov.

Malaysiakini turut difahamkan tiga pegawai SPRM mengunjungi pejabat Yeoh pada pagi 25 Nov.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM dan Yeoh untuk mendapatkan ulasan, namun belum menerima maklum balas ketika laporan asal diterbitkan pada 25 Nov.

Ketika menggulung perbahasan usul Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim di Kamar Khas Dewan Rakyat pada 23 Nov, Hannah mempertahankan pengurangan premium tanah KLSCAH daripada kira-kira RM4.67 juta kepada RM1,000.

Menurutnya, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.

Dia menjelaskan premium nominal itu ditetapkan mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1995, dengan mengambil kira sekatan penggunaan tanah dan status bangunan KLSCAH sebagai warisan kebangsaan sejak 2007.

Yeoh turut mendakwa kontroversi itu tidak akan mendapat perhatian yang sama jika menteri yang terlibat datang daripada parti lain.

Dia menuduh pengkritik memberikan tumpuan berlebihan terhadap isu itu kerana ia melibatkan sebuah pertubuhan Cina dan seorang menteri DAP.

Menurutnya, usahanya melindungi tanah bernilai tinggi, kawasan hijau dan kolam takungan banjir di Kuala Lumpur pula tidak mendapat perhatian setara.

Penjelasan itu diberikan selepas beberapa ahli parlimen berulang kali mempersoalkan sama ada KLSCAH menerima layanan istimewa dan sama ada Yeoh mempengaruhi keputusan jawatankuasa berkenaan atau tidak.

Yeoh turut menyenaraikan tujuh pertubuhan yang sebelum ini menerima kadar premium tanah nominal RM1,000 di Kuala Lumpur bagi menegaskan KLSCAH tidak diberi layanan istimewa.

Antaranya Yayasan Tuanku Bainun, Pertubuhan Bakti, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia dan Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia.

Senarai itu turut merangkumi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Persatuan Keturunan Chan She Shu Yuen Kuala Lumpur dan Selangor serta Persatuan Badminton Malaysia.

KLSCAH pada mulanya memohon pelanjutan tempoh pajakan kepada 99 tahun pada September 2025 dan dikenakan premium kira-kira RM4.67 juta.

Pertubuhan itu kemudian memohon pengurangan premium serta penukaran kepada hak milik kekal sebelum memohon penyerahan dan pemberimilikan semula tanah bagi kegunaan institusi menggantikan kegunaan komersial.

Jawatankuasa berkenaan meluluskan permohonan yang disemak semula itu pada 14 Sept 2026, dengan tanah berkenaan kekal berstatus pajakan sehingga 99 tahun.

Hannah turut menolak tanggapan KLSCAH mampu menampung kos penyelenggaraannya dengan mudah melalui sewaan dewan.

Menurutnya, hasil sewaan itu menampung kurang dari 20 peratus kos operasi dan penyelenggaraan pertubuhan berkenaan.

Dia berkata KLSCAH kali terakhir menerima geran pemuliharaan kerajaan pada 2007, meskipun permohonan dikemukakan selepas itu.

Ketika mengumumkan pengurangan premium pada sambutan ulang tahun ke-103 KLSCAH pada 14 Nov, Hannah turut memaklumkan cukai tanah tahunan ditetapkan pada RM3,151.

Menurut laporan Bernama, Hannah berkata keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan Madani untuk memelihara warisan dan mercu tanda bersejarah di Kuala Lumpur.