Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

NGO penyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menolak tanggapan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bahawa mereka enggan berdebat berhubung halal-haram akta kontroversi itu.

Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS) tidak pernah menyatakan menolak jemputan NGO anti-ISA itu, kata timbalan presidennya Rahimuddin Harun.

"Kalau anggap kita tak bersetuju, tak acilah (tak bolehlah). Kita tak kata kita tak setuju. Kita tak minta syarat-syarat yang menyusahkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Macam kenduri kahwin, sudah tetap tarikh, tapi tak tanya pengantin lelaki.

"Kad jemputan dah dihantar, majlis dah nak bermula, mereka ajak bersanding, tapi tak ada rundingan dengan pihak lelaki, macam mana?

"Kenapa awal sangat, baru bincang nak melatah, tak boleh macam itu, profesional sikit."

Cabar-mencabar antara kedua-dua pihak berlarutan sejak 10 hari yang lalu, bermula 27 April.

Semalam GMI bertegas akan meneruskan debat "ISA: Halal atau Haram" pada jam 3 petang esok di Dewan Sivik MBPJ di Petaling Jaya walaupun tanpa wakil PEWARIS.

GMI sebelum ini mengundang PEWARIS berdebat mengenai sejauh mana Islamik atau tidak akta tersebut susulan kenyataan NGO Melayu itu bahawa akta tersebut "perlu untuk mempertahankan Islam."

Menyahut cabaran tersebut, PEWARIS kemudiannya mencadangkan agar perdebatan itu ditukar kepada perbincangan dan ia disiarkan secara langsung di stesen Radio 24 milik agensi berita nasional Bernama.

Sehubungan itu, GMI menganggap PEWARIS menolak perdebatan itu kerana cadangan balasnya bercanggah dengan tawaran debat yang asal.

Diminta mengulas lanjut, Rahimuddin berkata, pihaknya juga menolak dakwaan mereka takut kalah untuk berdebat dengan GMI.

"Bukan soal kalah, bukan soal takut. Kita setuju (berdebat), kalau boleh di tempat yang sesuai.

"Sekiranya penyokong GMI dan ahli PEWARIS datang ke dewan MBPJ, sudah tentu kena ada permit. Kalau sesuatu (yang buruk) berlaku, kita dipersalahkan.

"Kita cari tempat berkecuali yang tidak melibatkan penyokong- penyokong," katanya, sambil menambah dewan sivik tersebut terlalu kecil untuk menampung kehadiran penyokong kedua-dua NGO tersebut.

Oleh sebab itu, tambah Rahimuddin, perdebatan itu wajar disiarkan secara langsung melalui siaran radio kerana liputannya lebih meluas ke seluruh negara bagi membolehkan rakyat mendengar pandangan kedua-dua pihak.

"Kita tidak menolak (tawaran debat), cuma kita cari tempat dan waktunya yang bersesuaian, kita berjumpa. Kita sama-sama bincang, lagi fokus dan lagi senang," katanya lagi.

ADS