Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wakil rakyat PKR, isteri dibebas
Diterbitkan:  May 8, 2009 7:27 PM
Dikemaskini: 12:16 PM

Jarang berlaku dalam sejarah negara, gara-gara persidangan DUN Perak semalam, 117 orang ditahan polis, termasuk terpaksa meringkuk di lokap.

Jumlah itu termasuk 11 orang termasuk ADUN Padungan, Dominique Ng dan isterinya yang dibebaskan hari ini selepas ditahan kerana menyertai bantahan sambil menyalakan lilin di Kuching malam tadi.

Ketua polis daerah itu ACP Wong Wai Loong mengesahkan bahawa mereka dibebaskan selepas diletakkan dalam tahanan polis selama 24 jam kerana mengadakan perhimpunan haram di Kuching Waterfront tanpa permit polis.

Tiada insiden buruk berlaku semasa bantahan itu diadakan, katanya kepada Bernama .

Ng, yang berpakaian warna hitam, mengetuai kumpulan itu sebagai tanda menyokong rakan Pakatan Rakyat di Perak dan juga protes terhadap penangkapan Wong Chin Huat, jurucakap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Malam tadi, Wai Loong mengetuai sepasukan pegawai polis dengan unit tindakan ringan bersama trak perisai polis bagi menasihatkan kumpulan itu supaya bersurai tetapi tidak diendahkan, lapor agensi berita itu lagi.

Sementara itu di Ipoh, 69 orang termasuk 10 ADUN dan ahli parlimen pembangkang dibebaskan malam tadi selepas ditahan di sekitar bangunan DUN sejak pagi sewaktu ia sedang bersidang walaupun kecoh selama enam jam.

Di Pulau Pinang, seorang aktivis Suaram, Ng Eng Kiat ditahan di Georgetown malam tadi dalam perhimpunan membantah persidangan DUN tersebut.

Di Kuala Lumpur, polis membebaskan 20 aktivis termasuk lima peguam petang ini selepas ditahan dalam satu perhimpunan menyokong Chin Huat di pintu masuk balai polis Brickfields.

Polis merampas pakaian hitam 14 daripada mereka dengan alasan untuk dijadikan "bukti" pembabitan mereka dalam satu perhimpunan tersebut.

Ahli keluarga atau rakan mereka diminta membawa satu salinan pakaian lain sebelum membebaskan mereka sekitar 3.30 petang ini.

Kesemua mereka keluar dengan pakaian hijau kebiru-biruan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang dipinjamkan oleh NGO tersebut.

Malam sebelumnya, polis Brickfields menahan 14 orang dan membebaskan kesemua mereka termasuk ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching dua jam kemudian.

Mereka hadir bagi membantah penahanan aktivis Bersih itu bawah Akta Hasutan kerana berkempen "1Black Malaysia", menganjurkan orang ramai berpakaian hitam bagi mempertikaikan sidang DUN itu.

Turut ditahan pemimpin kanan PAS Mohamad Sabu yang dibebaskan di Tanjung Malim, Perak semalam selepas bermalam di lokap Bukit Aman.

Naib presiden PAS itu ditahan di Kuala Lumpur kelmarin setelah mengajak orang ramai menunaikan solat hajat pada awal pagi semalam di Manjoi, beberapa kilometer dari pusat bandar Ipoh.

ADS