Buli: Banyak cadangan ‘radikal’ Asyraf dah dibuat - Fadhlina
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata banyak daripada tujuh cadangan “radikal” yang dikemukakan Asyraf Wajdi Dusuki bagi menangani buli di sekolah sebenarnya sudahpun dilaksanakan.
Ia termasuk pemantauan lebih ketat, saluran aduan tanpa nama, perluasan liputan kamera litar tertutup (CCTV) dan intervensi awal.
Fadhlina berkata garis panduan antibuli sudah dilaksanakan sekurang-kurangnya sejak 2010 dan diperkukuh menerusi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli 2023.
“Kalau sesuatu kes mempunyai unsur jenayah, sekolah tidak boleh mengambil alih tugas polis dan menyelesaikannya sebagai kes disiplin semata-mata.
"Kes perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/11/2380f278781cfa9f1a9b2c5f65bb4936.jpg)
Fadhlina berkata demikian ketika memberikan respons satu persatu di Threads terhadap cadangan Asyraf yang juga setiausaha agung Umno dan pengerusi Mara.
“Kalau ada pentadbir atau guru yang cuai atau cuba melindungi kes, tindakan mesti diambil,” kata menteri pendidikan lagi.
Pertukaran pendapat itu berlaku ketika isu keselamatan sekolah kembali mendapat perhatian susulan kematian seorang pelajar Tingkatan Dua berusia 14 tahun di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala seorang pelajar Tingkatan Empat berusia 16 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Laporan media memetik dakwaan perbuatan buli mungkin terbabit namun polis belum mengesahkannya secara terbuka.
Lebih 10,000 warden asrama
Menjawab gesaan Asyraf supaya warden profesional sepenuh masa dilantik, termasuk daripada kalangan bekas anggota polis dan tentera, Fadhlina berkata sekolah kini mempunyai lebih 10,000 warden asrama.
Katanya, seramai 300 pembantu warden asrama turut ditambah sejak April bagi membantu warden menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar, khususnya melalui pemantauan pada waktu malam supaya risiko atau kejadian di asrama dapat dikesan dan ditangani lebih awal.
Fadhlina turut berkata Akta Antibuli 2026 dan tribunal bertujuan memberi saluran perundangan kepada mangsa di luar garis panduan peringkat sekolah.
“Selepas Akta ini, pengurusan buli bukan lagi bergantung kepada garis panduan sekolah semata-mata.
"Institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang," katanya.
Saluran aduan tanpa nama
Bercakap mengenai dakwaan cubaan menyembunyikan kes, Fadhlina berkata tindakan perlu diambil terhadap pentadbir atau guru yang didapati cuai atau melindungi sesuatu kes.
Menurutnya, kementerian juga memperkenalkan saluran aduan tanpa nama menerusi Portal Aduan Buli bagi melindungi pengadu dan saksi.
Fadhlina berkata kadangkala masalah timbul bukan kerana pelajar tidak mahu bersuara tetapi takut akan apa yang berlaku selepas mereka berbuat demikian.
“Kita kena pastikan mereka ada jalan untuk bersuara dan yakin bahawa apabila mereka bersuara, ada orang yang akan bertindak,” katanya lagi.
Mengenai “titik buta” kejadian buli, Fadhlina berkata liputan CCTV di sekolah berasrama diperluas kepada 333 sekolah tahun ini.
Usaha itu dilaksanakan seiring peningkatan pemantauan oleh manusia serta pandangan keselamatan daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh).
“Sekarang kita pergi lebih jauh. Kita ada pemantauan, saluran aduan dan SAFE, iaitu intervensi antibuli yang dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah.
“Kita tak mahu tunggu sampai ada kes besar baru hendak bergerak,” katanya.
Dia turut menyokong cadangan Asyraf supaya sistem amaran awal diwujudkan, dengan berkata sekolah sudah lama diarahkan mengesan tanda-tanda buli sebelum sesuatu kes menjadi lebih serius.
Menurutnya, kementerian kemudian memperluas usaha itu melalui pemantauan, saluran aduan dan SAFE, iaitu program intervensi antibuli yang melibatkan seluruh warga sekolah.
‘Itu bukan tradisi’
Mengenai amalan senioriti yang bersifat penderaan, Fadhlina berkata tidak ada alasan untuk membenarkan senior mengajar junior jika ia melibatkan serangan, ancaman atau penghinaan.
“Kalau senioriti membuatkan junior takut untuk bersuara, itu bukan tradisi. Itu budaya yang kita kena hentikan,” katanya.,” katanya.
Terdahulu, Asyraf mengemukakan tujuh cadangan, termasuk melantik warden profesional, melaksanakan toleransi sifar terhadap buli dan memperkukuh penggunaan Akta Antibuli.
Dia turut mencadangkan tindakan terhadap pihak yang menyembunyikan kes, perluasan liputan CCTV, pewujudan sistem amaran awal dan penamatan amalan senioriti yang bersifat penderaan.
Selain Asyraf, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden turut menggesa Fadhlina dan Kementerian Pendidikan menjelaskan pelaksanaan dasar antibuli kementerian.
Fadhlina juga mengarahkan audit segera terhadap langkah keselamatan dan pematuhan prosedur sekolah berkenaan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/0cd601ff7a538bacac7253f7b87163e4.jpg)
