UiTM Holdings rugi RM157 juta: Siasat sebelum ambil tindakan - PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isu pengurusan dan kelemahan UiTM Holdings Sdn Bhd perlu dikaji terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.
Katanya, laporan berkaitan isu itu akan diberi perhatian melalui kerjasama Naib Canselor UiTM, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri.
“Sila lihat tentang UiTM Holdings dan cari jalan bekerjasama dengan Naib Canselor dan Jabatan Perdana Menteri. Pejabat saya akan berikan kerjasama dan pandangan.
"Jangan kita hukum sekarang, kaji dulu apakah kelemahan biasa, itu diperbaiki, tukar orang. Berpuluh agensi kita tukar.
"Tetapi kalau betul ada kecurangan, mesti ambil tindakan," kata perdana menteri seperti dipetik Bernama ketika menjawab soalan isu pengurusan badan itu.
Pada 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan membabitkan kerugian RM157 juta oleh UiTM Holdings.
Siasatan itu tertumpu pada beberapa isu, khususnya berkaitan dana dan pelaburan yang dibuat syarikat berkenaan sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.
Anwar berkata tadbir urus yang baik amat penting, khususnya dalam agensi Bumiputera, bagi memastikan ia menjadi contoh kepada masyarakat.
“Saya lebih tegas dengan agensi Bumiputera. Betul, kerana ini patut jadi contoh,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/10/6409867323020aa5f7bab9b00d768444.jpg)
