Ketika kerajaan bersiap sedia untuk melaksanakan tahanan rumah ke atas Najib Razak, wujud persoalan mengenai bagaimana sekatan seperti di penjara dapat dikenakan sama ke atas bekas perdana menteri itu di kediaman persendirian yang dikongsi dengan Rosmah Mansor.

Sebagai contoh, apakah yang boleh menghalang Najib daripada menggunakan telefon Rosmah? Bolehkah pihak berkuasa menghalangnya?

“Saya fikir penting untuk kita berterus terang. Jawapannya – secara jujurnya – ialah tidak,” kata peguam Nizam Bashir kepada Malaysiakini.

Kata Nizam, jika Najib dan Rosmah tinggal bersama, pihak berkuasa secara realistiknya tidak boleh memantau setiap interaksi peribadi atau menjamin bahawa dia tidak pernah menggunakan telefon Rosmah.

“Alat pemantauan elektronik yang dipasang pada buku lali boleh membantu menentukan dia kekal berada di kediaman itu; (tetapi) ia tidak dapat menentukan telefon milik siapa yang digunakannya di dalam kediaman tersebut,” katanya.

Nizam menambah jabatan berkenaan boleh menetapkan syarat yang jelas terhadap Najib, menjalankan pemeriksaan dalam lingkungan kuasa yang dibenarkan undang-undang, menyiasat dakwaan pelanggaran dan mengambil tindakan terhadap ketidakpatuhan yang terbukti.

Namun, katanya lagi, syarat yang dikenakan terhadap Najib tidak dengan sendirinya memberikan pihak berwajib akan kuasa tanpa batas untuk memantau Rosmah atau mengawal telefonnya.

Prosedur operasi standard (SOP) jabatan berkenaan, tambah Nizam, perlu dijelaskan mengenai batasan praktikal, dan bukannya hanya menjanjikan penguatkuasaan sempurna.

“Persoalan lebih mendalam ialah, apakah yang dimaksudkan dengan amalan tahanan rumah? Adakah ia bertujuan untuk meniru sekatan penjara di dalam sebuah rumah, atau membenarkan kehidupan keluarga dan hubungan sosial biasa sambil mengenakan batasan yang jelas terhadap kebebasan individu tersebut?” soal Nizam.

Perlu perinci bagaimana jaminan pematuhan

Seorang lagi peguam, Kasthuri Krishnan, turut berkongsi pandangan sama dengan berkata terdapat kemungkinan Najib boleh mengelakkan sekatan terhadap penggunaan kemudahan tertentu, khususnya telefon bimbit, jika dia mempunyai akses kepada peranti milik Rosmah.

“Sekatan yang dikenakan terhadap Najib juga tidak secara automatik melarang Rosmah daripada memiliki atau menggunakan telefon bimbit sendiri,” jelas Kasthuri.

Dia berkata perkara itu hanya boleh ditangani melalui langkah seperti pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan rumah yang ditetapkan sebagai tempat tahanan bagi memantau pematuhan Najib.

Persoalan praktikal yang sama boleh timbul apabila orang atau barangan keluar masuk dari kediaman berkenaan – seperti makanan dan penghantaran komersial, kunjungan pembantu rumah, kontraktor atau kakitangan perubatan, akses kepada kenderaan, ubat-ubatan dan barangan lain.

Kesukarannya ialah untuk membezakan antara perkara yang ditujukan kepada Najib dengan perkara yang dimiliki atau digunakan oleh anggota isi rumah yang lain. Perkara yang sama boleh terpakai kepada kawasan kediaman yang dikongsi oleh Najib dan penghuni lain.

Oleh itu, cabaran yang ada ialah untuk menguatkuasakan sekatan terhadap Najib secara berkesan tanpa mengenakan syarat seperti penjara terhadap semua orang yang tinggal di rumah tersebut.

Sebahagian daripada kekaburan itu berpunca daripada ketiadaan rangka kerja berkanun khusus yang menggariskan bagaimana tahanan rumah terhadap seorang banduan perlu dipantau dan dikuatkuasakan.

Ketika ini tiada undang-undang khusus mengenai tahanan rumah.

Bagaimanapun, Seksyen 3 Akta Penjara 1995 membenarkan menteri dalam negeri mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat, atau mana-mana bahagiannya, sebagai penjara.

Walaupun Malaysia mempunyai peruntukan mengenai peranti pemantauan elektronik (EMD) dalam bidang kuasa undang-undangnya, peruntukan tersebut wujud pada peraturan tahanan pencegahan yang tidak direka untuk seseorang dalam kedudukan Najib, iaitu Akta Pencegahan Jenayah dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), serta Akta Pencegahan Keganasan.

Tidak jelas jika undang-undang tersebut boleh menjadi asas undang-undang untuk memasang EMD kepada seseorang yang sedang menjalani hukuman penjara yang diberikan tahanan rumah.

Dalam konteks itu, peguam berkata, syarat tahanan rumah dan SOP yang berkaitan perlu memperincikan bagaimana pematuhan Najib akan dipantau – dengan mentakrifkan secara jelas bahagian rumah yang tertakluk kepada syarat seperti penjara serta menetapkan kuasa pegawai untuk menjalankan pemeriksaan serta penggeledahan di kawasan tersebut.

Former Prime Minister Najib Razak at court September 25th 250926

Pelawat dan penghantaran juga boleh tertakluk kepada kawalan yang bersesuaian, manakala penghuni lain tidak secara automatik tertakluk kepada sekatan yang sama seperti Najib.

Peguam Thulasy Suppiah menjelaskan peruntukan sedia ada pada Seksyen 43 Akta Penjara dan Peraturan 111 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 menyediakan asas berkanun untuk mengawal kediaman, pergerakan dan pelaporan seorang banduan apabila pembebasan bersyarat diberikan mengikut seksyen 43.

“Seksyen 43 memberikan budi bicara yang agak luas kepada ketua pengarah penjara untuk mengenakan syarat, maka hujah boleh dibuat bahawa EMD boleh menjadi satu daripada syarat tersebut.

“Bagaimanapun, Seksyen 43 mahupun peraturan 111 tidak secara jelas memperuntukkan mengenai pemantauan elektronik atau pemasangan dan pengendalian EMD,” jelasnya.

Tambah Thulasy lagi, Rang Undang-Undang (Pindaan) Penjara 2026 yang dicadangkan boleh menyediakan asas berkanun yang lebih jelas bagi pemantauan elektronik, namun dia menunjukkan bahawa ia belum diluluskan.