Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perkasakan masjid, bukan berebut jawatan
Diterbitkan:  Jun 11, 2009 5:48 PM
Dikemaskini: 12:32 PM

Angkatan Muda PKR Selangor menggesa semua pihak memperkasakan institusi masjid dan tidak berebut jawatan seperti yang dialami sekarang susulan rombakan ahli jawatankuasa sejak awal bulan ini.

"Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa agar semua pihak menumpukan kepada usaha-usaha kepada pemerkasaan dan pengimarahan institusi masjid agar dapat menjadi institusi yang mendidik masyarakat ke arah kejayaan dan kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan," kata ketua penerangannya Mohd Ezli Mashut.

"AMK menggesa semua pihak agar menghentikan perbalahan dan polemik negatif berkaitan dengan isu pemilihan ahli jawatankuasa masjid bagi sesi 2009-2012 ini dengan segera.

"Perkembangan mutakhir kini dikhuatiri boleh membawa perpecahan kepada masyarakat Islam di negeri ini."

Beliau mengulas tindakan sesetengah pihak yang didakwa ingin membawa rasa tidak berpuas hati terhadap pelantikan baru jawatankuasa masjid kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"AMK Selangor merasakan tindakan ini hanya mencemarkan nama baik institusi masjid yang sewajarnya dipelihara oleh semua pihak," kata Mohd Ezli lagi.

"AMK Selangor yakin soal tidak puas hati berkenaan pemilihan ahli jawatankuasa masjid adalah soal kecil yang boleh diselesaikan dengan cara berhemat dan terpuji.

"Malahan jawatan sebagai makmum yang sebenarnya perlu diisi dengan segera memandangkan jawatan ini sentiasa kosong khususnya pada waktu solat Subuh."

Selain itu, Umno negeri pula dilaporkan ingin menyerahkan memorandum kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membantah pelantikan imam dan nazir masjid yang dilantik tidak mengikut keputusan majoriti kariah serta anggota jawatankuasa masjid.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar mendakwa walaupun pengundian dibuat melalui mesyuarat agung tetapi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) didapati membuat pelantikan tanpa merujuk kepada keputusan pengundian itu.

"Mengapa ada pihak lain yang lebih tinggi dari keputusan mesyuarat agung? Lebih baik lantik guna kuasa dan tak perlu mengundi. Tindakan mereka ini buang masa dan mempersenda demokrasi," katanya, yang juga menteri pertanian dan industri asas tani.

Menurut Bernama , senario itu disahkan berlaku di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan, Petaling Jaya apabila nazir dilantik dari kalangan mereka yang tidak mendapat undian tertinggi.

Noh juga tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku berdasarkan

perbezaan fahaman politik dengan kerajaan Pakatan Rakyat apabila ramai ahli jawatankuasa masjid yang kebetulan menyokong Umno telah digugurkan.

ADS