Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis digesa henti panggil peguam
Diterbitkan:  Jun 16, 2009 4:59 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Majlis Peguam memandang berat tindakan polis yang didakwanya terus bertindak menggangu dan menakut-nakutkan peguam dengan memanggil mereka untuk memberi kenyataan berhubung perkara-perkara yang berkaitan dengan tugas profesional mereka.

Terbaru, katanya, peguam Chan Kok Keong telah diberi notis mengikut Seksyen 111 yang tidak menyebut perkara yang akan disoal kepadanya.

Dalam pertemuan tersebut, beliau ditanya mengenai satu afidavit yang disahkan oleh pelanggannya, bekas Speaker DUN Perak, V Sivakumar, dalam kes saman di mana Chan mewakilinya.

Peguam-peguam yang mewakili Chan dalam kes tersebut juga dimaklumkan bahawa mereka akan diminta memberi kenyataan jika mereka ingin menemani Chan dalam pertemuan tersebut. bar council planning law forum 140607 ragunath kesavan

Dalam kenyataannya, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, tindakan itu memperolok-olokkan prinsiap asas kerahsian antara peguam dan pelanggan yang harus mereka patuhi.

Tindakan itu, katanya, menunjukkan bahawa tidak wujud rasa hormat kepada sistem kehakiman jenayah, di mana privilej peguam-pelanggan menjadi asasnya.

Gangguan seumpama itu, tegasnya, mesti dihentikan jika mahu dipertahankan prinsip kehakiman dan untuk menegakkan undang-undang.

Ragunath berkata, ia diiktiraf di peringkat antarabangsa bahawa peguam menjalan tugas penting apabila mereka mewakili pelanggan mereka dalam menegakkan keadilan.

Oleh itu, tegasnya, mereka mesti dibenarkan menjalan tugas mereka secara bebas.

Majlis Peguam, katanya, menggesa pihak polis supaya memberhentikan segera tindakan tidak wajar memanggil peguam yang mewakili pelanggan mereka, untuk memberi kenyataan.

Beliau turut menggesa pihak polis supaya menghormati undang-undang, yang termasuk hak mendapatkan khidmat guaman tanpa sebarang gangguan dan ugutan terhadap peguam yang menjalankan tugas mereka sebagai pegawai mahkamah.

ADS