'Suo motu': Bagaimana Mahkamah Persekutuan boleh selesaikan krisis N Sembilan
Bolehkah Mahkamah Persekutuan campur tangan dan menyelesaikan sendiri krisis diraja Negeri Sembilan yang berlarutan selama berbulan-bulan? Seorang bekas hakim Mahkamah Rayuan berpendapat ia boleh dilakukan.
Ini kerana krisis tersebut melibatkan dua persoalan undang-undang utama: Sama ada para Undang — yang diberi kuasa mengikut perlembagaan untuk menentukan siapa yang menduduki takhta —telah melaksanakan kuasa mereka dengan sewajarnya untuk melucutkan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar; dan sama ada para Undang tersebut merupakan pemegang jawatan yang sah pada masa proklamasi berkenaan.
Ketika bercakap kepada Malaysiakini, bekas hakim Hamid Sultan Abu Backer berkata masalahnya ialah proses undang-undang biasa memakan masa yang lama dan perlahan, sedangkan masalah di Negeri Sembilan itu memerlukan penyelesaian yang lebih segera.
Justeru, kata Hamid terdapat keperluan bagi Mahkamah Persekutuan untuk menggunakan kuasa 'suo motu'.
'Suo motu' ialah istilah undang-undang Latin yang bermaksud "atas inisiatif sendiri"; ia merujuk kepada situasi di mana mahkamah atau hakim memulakan tindakan atau prosiding atas inisiatif sendiri dan bukannya menunggu kes dibawa ke hadapan mereka.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/02/2db3a9e6851ce4dac65b86b4b84a8a8e.jpg)
Walaupun tiada peruntukan undang-undang khusus mengenainya di Malaysia, Hamid berpendapat kuasa sedemikian boleh diperoleh dengan mentafsir Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan—yang menetapkan bidang kuasa mahkamah atasan—bersama-sama dengan sumpah jawatan kehakiman untuk "memelihara, melindungi, dan mempertahankan" Perlembagaan Persekutuan.
Dia berkata langkah ini akan membolehkan Mahkamah Persekutuan mengatasi kelewatan sistemik dan "memberikan keputusan yang pantas serta muktamad terhadap pertikaian perlembagaan yang mendesak".
Hamid berhujah bahawa tindakan 'suo motu' perlu diambil memandangkan proses undang-undang biasa memakan masa yang lama dan tidak sesuai untuk menangani krisis yang mendesak.
Jika dilaksanakan, ia akan menjadi kali pertama mahkamah mengambil langkah sedemikian di Malaysia.
Perkembangan perlahan
Pada masa ini, pihak yang mendakwa sebagai Undang yang mahu melucutkan Tuanku Muhriz telah memulakan cabaran undang-undang terhadap Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan. Ia menuntut pendedahan minit mesyuarat bertarikh 17 April, di mana DKU—badan penasihat negeri mengenai hal ehwal adat—telah melucutkan jawatan Mubarak Thahak sebagai Undang Sungai Ujong.
Kes ini telah membawa kepada perintah injunksi bagi mengekalkan status quo di Negeri Sembilan, namun perkembangannya perlahan.
Cadangan 'suo motu' ini dikemukakan sebagai respons terhadap hujah-hujah yang antaranya menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Besar wajar menggunakan Perkara 34(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Perkara 34(3) membolehkan pemerintah negeri merujuk sebarang persoalan mengenai perlembagaan negeri kepada Mahkamah Persekutuan, dan mahkamah tertinggi itu wajib memberikan pendapatnya.
Walau bagaimanapun, Hamid berhujah bahawa Perkara 34(3) hanya boleh digunakan atas nasihat pihak eksekutif.
/file/attachments/orphans/TuankuMuhriz_885315.png)
Konflik berterusan
Tuanku Muhriz kini tidak sehaluan dengan Menteri Besar Ismail Lasim dan barisan exco kerajaan negeri.
Menteri Besar dan exco negeri mahu menguatkuasakan satu proklamasi yang dipertikaikan—yang dibuat oleh pihak yang mendakwa sebagai Undang—untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz. Baginda bertindak balas dengan membatalkan pelantikan ahli-ahli exco, kecuali Ismail.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang—yang merupakan kakitangan persekutuan—turut tidak sehaluan dengan exco negeri, malah telah mewartakan penyingkiran exco berkenaan.
Situasi ini boleh mencetuskan masalah besar dalam pentadbiran negeri sekiranya kewibawaan dan legitimasi pihak eksekutif terus dipersoalkan.
Sementara itu, terdapat juga hujah yang mencadangkan supaya darurat diisytiharkan di Negeri Sembilan sementara menunggu tribunal diraja oleh Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan konflik tersebut.
Berhubung perkara ini, Hamid berhujah bahawa langkah sedemikian merupakan jalan pintas yang tidak berperlembagaan, dan cadangan 'suo motu' menurutnya lebih wajar.

