ULASAN | Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, anak sulung dari Gemencheh itu, ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Seremban pada Jumaat malam. Al-Fatihah.

Polis sudah buka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun. Presiden PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba di Kuala Pilah, Negeri Sembilan meminta orang ramai jangan membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menyiasat punca sebenar.

Tapi hari ini – ketika bedah siasat pelajar berusia 14 tahun itu masih disiapkan, dan laporan polis belum keluar – Pengerusi Mara nampaknya sudah menemukan suspek utama di matanya.

Nama suspek? Drama dan Filem. Dia menulis di Threads bahawa drama atau filem yang mempromosikan buli atas nama 'pengajaran' akhirnya membawa kepada perlakuan 'copycat' anak muda berlagak kapla, taiko dan otai.

Ini adalah siasatan paling pantas dalam sejarah Malaysia. PDRM patut pergi kursus dan menuntut dengan Mara!

Jun lalu, tokoh yang sama itu mengaku sudah ‘terjebak’ dengan drama Teach You A Lesson sampai dua malam tidur lewat. Dia siap kata pengajaran utama drama tu jelas bahawa isu buli adalah serius. Tapi itu sebuah drama yang penuh adegan buli ya!

Justeru maksudnya, adakah ia suatu “pengajaran” jika Asyraf Wajdi Dusuki menonton dan menggemarinya, tetapi karya yang membawa tema sebegitu dianggap “copycat” jika budak-budak menontonnya?

Okay then.

Rupa-rupanya kesan filem ini ikut pangkat penonton. Lebih menarik, tahun lepas dia sendiri mendedahkan kebanyakan kes buli di MRSM berpunca daripada latar belakang keluarga yang berantakan.

Bersandar pada bukti sains

Diagnosis sendiri pun nampaknya sudah tidak terpakai sekarang. Mungkin sebab "keluarga berantakan" susah untuk membantu kenyataannya menjadi berita utama.

Sebenarnya polemik ini sudah basi hampir 100 tahun. Antara 1929 hingga 1933, AS menyiapkan siri 13 kajian yang dikenali sebagai Payne Fund Studies, iaitu penyiasatan terawal yang paling menyeluruh tentang kesan sosial media massa terhadap remaja negara tersebut.

Sebenarnya aku sempat meneliti Payne Fund Studies itu ketika di UiTM dulu.

Herbert Blumer – si sosiologis muda ketika itu – meminta lebih 1,500 pelajar kolej dan sekolah tinggi menulis pengalaman mereka menonton wayang. Keputusannya? Kompleks. Bercampur. Tak ada yang definitif.

Namun, apa yang jelas, ia banyak bergantung kepada budak terbabit, keluarga atau kejiranan mereka.

Selepas itu, sains bergerak. Christopher Ferguson dari Stetson University mendapati tiada hubungan jelas antara filem dan permainan (game) yang makin ganas dengan kadar keganasan masyarakat dari awal abad ke-20 hingga hari ini.

Malah untuk tempoh dari 1996 hingga 2011, penggunaan video game ganas adalah berkadar songsang dengan keganasan remaja. Makin banyak game ganas, makin kurang budak melakukan jenayah.

Ferguson sendiri beritahu, ia mungkin kebetulan dan tak membuktikan game menyebabkan penurunan kerana sebab correlation is not causation.

Dan itulah yang aku nak tekankan. Kalau correlation pun tak boleh jadi causation, apatah lagi andaian semata-mata yang ditulis kurang 24 jam selepas kematian pelajar malang terbabit.

Okay, jom kita ikut logik Asyraf Wajdi sehingga habis.

Andainya buli sampai mati tu adalah salah drama, rasuah dalam kalangan ahli politik tu salah drama apa pula? Setahu aku tak ada drama Melayu siaran waktu perdana yang mengajar cara membuka akaun luar negara atau cara minta ‘duit kopi’ untuk kelinciran projek jutaan ringgit.

Kes rogol pula – salah drama siapa? Drama apa yang budak-budak tengok sampai terfikir nak buat benda terkutuk tu?

Kalau teori copycat itu betul, rasanya program paling bahaya untuk anak muda bukan drama jam 7, tetapi siaran berita jam 8 malam. Sebab di situlah budak-budak belajar yang orang besar boleh buat salah besar, lepas itu senyum di depan kamera, dan kadang-kadang terlepas.

Itu baru role model yang betul-betul boleh di-copycat.

film movie shooting shoots capture recording generic 050620

Memang mudah untuk menyalahkan. Drama tidak ada undi. Filem tidak ada cawangan parti. Penerbit tidak boleh buat sidang media depan parlimen. Menyalahkan skrin adalah jalan paling murah untuk nampak prihatin tanpa perlu bersusah-payah bekerja.

Juga, sebab kalau jujur nak mencari punca, soalannya jadi tak selesa.

Jam 8 malam tu, siapa jaga asrama? Ada atau tidak aduan sebelum ini? Kalau ada, siapa yang terima dan apa tindakan yang diambil? Budaya senior-junior di sekolah berasrama ni, siapa yang pelihara bertahun-tahun?

Soalan-soalan ni tak boleh dijawab dengan satu hantaran Threads. Ia perlukan siasatan dan siasatan itu tidak boleh disingkatkan dengan menuding ke arah Netflix.

Mengharamkan tidak mesti menyelesaikan

Jadi, apa yang sepatutnya dibuat? Tak payah berteka-teki kerana sains ada jawapannya. Meta-analisis Ttofi dan Farrington dari Cambridge terhadap 44 penilaian program mendapati program antibuli di sekolah berkesan, dengan buli berkurang 20 peratus hingga 23 peratus, manakala mangsa berkurang antara 17 peratus hingga 20 peratus.

Yang paling berkesan? Program yang lebih intensif, program yang ada pertemuan ibu bapa, kaedah disiplin yang tegas dan pengawasan yang dipertingkatkan. Ada juga pendekatan "hot-spot supervision", iaitu mengenal pasti lokasi yang kerap berlaku buli dalam kawasan sekolah.

Menambah kekerapan guru di situ juga akan banyak membantu.

Mari lihat senarai tu elok-elok: Pengawasan, ibu bapa, disiplin, dan latihan guru. Tidak ada satu pun yang berbunyi "haramkan drama dan filem".

Aku orang filem. Aku tahu filem boleh mempengaruhi. Kalau tidak, buat apa kita bersusah payah menghasilkan filem? Tapi filem tentang buli yang jujur bukan mempromosi buli. Ia memaksa kita memandang benda yang selama ini kita sapu bawah karpet. Mengharamkan filem buli tidak akan hilangkan gejala buli.

Idlan tak mati disebabkan drama. Idlan meninggal dunia dalam asrama yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk dia membesar. Hormati dia dengan jawapan yang betul, bukan mempersembahkan kepada awam kambing hitam yang senang.

Sebab kalau setiap kali ada budak mati kita kemudian menyalahkan skrin, kita cuma sedang menulis skrip yang sama untuk mangsa seterusnya. Dan skrip tu, Datuk, tidak ada siapa pun nak tonton.

Wallahuaalam.


SANIBOEY MOHD ISMAIL ialah tokoh media dan komunikasi yang memulakan kerjayanya sebagai wartawan di Berita Harian pada 1991. Dia juga dikenali sebagai penerbit eksekutif, penulis skrip filem dan drama televisyen serta aktif dalam bidang perhubungan awam sebagai penceramah jemputan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.