Kemelut adat dan institusi diraja Negeri Sembilan dijangka digunakan lawan sebagai bahan kempen terhadap Umno dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Namun, dua penganalisis politik berpandangan parti itu masih berpeluang mempertahankan pentadbiran negeri berdasarkan kekuatan akar umbinya di Melaka.

PRN Melaka bakal menguji sama ada Umno mampu mengekalkan pentadbiran di negeri Hang Tuah ketika kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan berdepan kritikan kerana gagal menyelesaikan krisis yang berlarutan.

Penganalisis politik Mazlan Ali berkata isu itu kini lebih mudah dikaitkan dengan Umno berbanding sebelum PRN lalu selepas parti berkenaan menerajui kerajaan Negeri Sembilan.

Menurutnya, persepsi tersebut semakin ketara selepas Menteri Besar Ismail Lasim mengiktiraf proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Yang di-Pertuan Besar, yang menyebabkan pihak istana membatalkan pelantikan barisan exco Negeri Sembilan.

“Jadi, naratif Umno nak menurunkan Tuanku Mukhriz itu dia dah jadi satu perkara yang orang nampak, berbanding sebelum PRN.

“Sebelum PRN situasi masih kabur, kita pun tak tahu (apa akan jadi). Hari ini, apabila menteri besar sendiri dan exco nampak macam ada sesuatu tidak beres dengan istana, jadi nampak begitulah.

“Memang hari ini parti-parti lawan ni akan gunakan isu Negeri Sembilan, krisis perlembagaan Negeri Sembilan ini sebagai bahan kempenlah. Mereka akan kata bahawa Umno nak menurunkan Tuanku Mukhriz,” katanya kepada Malaysiakini.

Pengundi atas pagar mungkin terkesan

Mazlan (gambar bawah) berkata Umno dijangka mampu bertahan dalam PRN Melaka walaupun kemelut Negeri Sembilan boleh mempengaruhi segmen pengundi tertentu.

“Saya fikir Umno di Melaka ini kuat. Mereka ada asas politik yang kuat di Melaka dan atas kertas, Umno boleh mempertahankan pentadbiran mereka.

“Tetapi, krisis yang berlaku di Negeri Sembilan ini, mungkin boleh mempengaruhi pengundi atas pagar, orang-orang muda, orang berpendidikan dan pengundi bandar kerana mereka lebih faham apa yang berlaku.

“Mereka yang kurang ambil tahu, tiada pengetahuan pastinya tidak faham dengan jelas isu yang terjadi. Kadang-kadang kalau faham pun, dia tak peduli sangat. Yang mempedulikan isu ni adalah orang-orang berpendidikan, orang yang faham dan celik politik.

“Saya fikir Umno terkesan dengan segmen pengundi yang mengikuti perkembangan itu, yang saya sebut tadilah. Namun bergantung juga pada pertembungan parti-parti sama ada Umno bertanding solo atau bekerjasama dengan parti lain,” katanya.

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh pada Selasa lalu mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa 23 Sept bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.

Pembubaran itu berlaku ketika Umno berdepan kritikan berhubung tindakan kerajaan Negeri Sembilan dalam kemelut yang masih belum diselesaikan.

Dalam pada itu, Mazlan berkata Umno-BN mungkin menerima sedikit kesan sekiranya bertanding secara solo dalam keadaan peratusan keluar mengundi tinggi.

“Berdasarkan situasi itu, ada kesan sikit pada Umno. Tetapi, Umno masih boleh menang,” katanya.

Dinamik politik Melaka berbeza

Pensyarah kanan hubungan antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Hussain Yusri Zawawi (gambar bawah) turut berpandangan kesan terbesar kemelut itu terhadap Umno mungkin berlaku dari sudut persepsi.

“Krisis itu melibatkan kerajaan negeri, Umno dan institusi diraja, iaitu perkara yang cukup sensitif dalam politik Melayu.

"Jika tidak dijelaskan dengan baik, pihak lawan boleh menggunakan isu tersebut untuk menimbulkan persoalan mengenai cara Umno mengurus hubungan antara politik, kerajaan negeri dan institusi diraja.

“Namun, saya tidak melihat isu Negeri Sembilan secara automatik akan menentukan corak pengundian di Melaka.

"Politik Melaka mempunyai dinamiknya sendiri. Pengundi juga akan melihat prestasi kerajaan negeri, calon yang diketengahkan, isu kos sara hidup, pembangunan setempat serta kekuatan jentera parti.

“Jadi, isu Negeri Sembilan mungkin menjadi salah satu bahan kempen, tetapi kesannya bergantung kepada sejauh mana isu itu terus berpanjangan dan bagaimana Umno memberikan penjelasan kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Hussain Yusri lagi, cabaran Umno sekarang adalah memastikan kemelut Negeri Sembilan tidak mengalihkan perhatian daripada agenda yang mahu dibawanya dalam PRN Melaka.

“Jika kontroversi itu berterusan sepanjang tempoh kempen, ia boleh menjadi beban komunikasi kepada parti.

“Sebaliknya, jika dapat diselesaikan atau diperjelaskan dengan cepat dan berhemah, tumpuan pengundi Melaka mungkin lebih banyak kembali kepada isu tempatan dan prestasi kerajaan negeri,” katanya.