Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abim: K'jaan perpaduan PAS-Umno tidak mustahil
Diterbitkan:  Jun 21, 2009 11:54 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad berkata, penubuhan kerajaan perpaduan PAS-Umno bukanlah sesuatu yang mustahil.

"Saya rasa ia tidak mustahil. Ia boleh dilaksanakan tetapi bukan mudah, namun boleh dilakukan," katanya dalam wawancara dengan akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Untuk itu, katanya, perlu ada kesediaan, keberanian dan wujud proses komuniksi yang lebih terbuka.

"Ia tidak perlu terlalu tertutup dan juga terlalu terbuka.

"Ini kerana akan ada kelompok, walaupun perkara ini baik, tetapi atas niat tertentu, tidak mahu perkara ini dijayakan," katanya lagi.

Yusri berkata, kelompok ini tidak mahu hubungan politik antara orang Melayu Islam lebih baik dan tersusun.

"Memang ada orang yang mahu melihat pertentangan dan jurang yang terlalu luas antara kita.

'Tiada parti yang maksum'

"Kita sudah terbiasa dengan konsep pemerintahan pecah dan perintah dan cuba menjarakkan sejauh mungkin hubungan antara kaum," tegasnya.

Bagaimanapun, Yusri berharap, kalaupun cadangan tersebut tidak sampai ke peringkat penggabungan, "tetapi jika ia mampu meraapatkan hubungan, itu sudah cukup baik".

"Jika tidak, kita akan terus hanyut dengan suasana politik yang memabukkan.

"Tidak ada mana-mana parti politik yang maksum dan dalam Islam sendiri pun ada kaedah serta panduan mencegah pertentangan politik yang melampau," tambahnya.

Ditanya sama ada Abim boleh memainkan peranan untuk menjayakan pembentukan kerajaan perpaduan itu, Yusri berkata:

"Bagi saya, adalah lebih baik kita serahkan kepada pihak-pihak berkaitan. Peranan orang tengah boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja yang bersesuaian yang dirasakan perlu, ia termasuklah NGO Islam".

"Bagi saya jika kami diminta oleh pihak terlibat untuk memainkan peranan, maka kami akan turun padang," kata Yusri sambil menegaskan bahawa ia adalah hak sepenuhnya pihak-pihak yang terlibat.

'PAS kini kuat'

Beliau juga menegaskan bahawa PAS tidak perlu terlalu bimbang tentang pandangan pihak lain dan mereka sendiri harus lebih lantang, bukan sahaja dalam pakatan pembangkang tetapi juga dalam membuka ruang politik baru yang lebih matang dan sihat dalam arena politk tanahair.

Menurut Yusri, PAS kini telah menjadi sebuah parti politik yang kuat berbanding sebelum ini.

"Malah, dalam sejarah PAS, mereka tidak pernah menjadi sekuat ini. Oleh itu, PAS tidak perlu berasa takut dan bimbang untuk berbincang kerana PAS bukan berada dalam situasi di mana mereka terpaksa bertindak atau membuat keputusan.

"PAS kini mempunyai sokongan yang sangt kuat daripada orang Melayu serta orang bukan Melayu," katanya.

Oleh itu, beliau menekankan perlunya memberi lebih kepercayaan kepada PAS untuk bergerak dan meneroka ruang-ruang demi kebaikan bersama.

"PAS perlu yakin dan berani kerana mereka kini muncul sebagai sebuah parti yang kuat," tambahnya.

ADS