Tidak sampai seminggu selepas Putrajaya menandatangani perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan 13 ahli parlimen luar kerajaan, Abdul Hadi Awang tampil mengecam keras persefahaman itu.

Memulakan pandangannya dengan mengulas berkenaan peristiwa akhir zaman mengikut Islam, Presiden PAS itu menganggap CSA berkenaan sebagai "pendekatan dajal" kerana dianggap mengkhianati amanah.

Kata Abdul Hadi, negara seluruh dunia menerima amalan bahawa segala hasil negara menjadi hak rakyat, sama ada yang diperolehi secara langsung atau tidak.

Ahli politik berusia 79 tahun itu berkata, Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan bahawa menjelang kiamat akan muncul "beberapa dajal kecil" di seluruh dunia sebelum Dajal besar hadir.

Pada dajal kecil itu, tambah Abdul Hadi menjadi "bala tentera" kepada Dajal sebenar.

"Kemunculan confidence and supply agreement (CSA) atau dalam bahasa Melayu (disebut) sebagai perjanjian keyakinan dan perbekalan ialah satu bentuk persetujuan politik di parlimen.

"Melalui persetujuan ini, blok pembangkang atau ahli parlimen bebas bersetuju untuk memberikan sokongan bersyarat kepada pihak kerajaan.

"CSA adalah pendekatan Dajjal pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa.

"Walaupun tidak berlagak menjadi tuhan laksana Dajjal yang besar, tetapi tetap melaksanakan sifat-sifat Dajjal," katanya dalam hantaran di media sosial.

Kerajaan baru-baru ini menandatangani CSA dengan 13 ahli parlimen termasuk enam dari Bersatu yang setia kepada presiden parti tersebut, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin Yassin (tengah) bersalaman dengan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, yang mewakili Putrajaya semasa majlis menandatangani CSA di Parlimen Malaysia pada 29 Okt lalu.

Turut menerima CSA itu ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selain enam ahli parlimen bebas yang memenangi kerusi masing-masing atas tiket Bersatu namun lebih awal menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

CSA itu membolehkan usaha kerajaan meluluskan Belanjawan 2027 menjadi terjamin, selain cubaan meminda perlembagaan bagi mengehadkan tempoh seseorang menyandang jawatan perdana menteri kepada dua penggal akan menjadi lebih mudah.

Butiran lain CSA itu ialah, Putrajaya memberikan komitmen membentangkan satu lagi pindaan perlembagaan bagi memisahkan peranan peguam negara dengan pendakwa raya.

Sebagai balasan, ahli parlimen terbabit akan menerima peruntukan pembangunan kawasan (CDF) pada kadar yang sama dengan ahli parlimen penyokong kerajaan (backbenchers).

Mereka juga berkewajipan untuk menyokong pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal parlimen semasa serta menyokong Belanjawan 2027.

Sejak akhir-akhir ini pembangkang mengemukakan naratif bahawa Anwar semakin hilang sokongan dan majoriti di Dewan Rakyat ekoran persefahaman yang dimeterai PN - yang kini dikuasai PAS - dengan BN.


Baca Bagaimana CSA Madani-Bersatu memberi keuntungan kepada Anwar?


BN adalah sebahagian daripada kerajaan pusat bersama PH dan gabungan parti Sabah serta Sarawak. Namun di Johor dan Negeri Sembilan, BN menjadi kerajaan negeri dan PH merupakan pembangkang.

Semua parti politik juga sedang mengadakan persiapan rapi bagi menghadapi PRN Melaka.

Kata Abdul Hadi semua faedah daripada cukai yang dipungut kerajaan mesti dipulangkan kepada semua rakyat tanpa mengira sama ada mereka mengundi parti kerajaan ataupun parti pembangkang.

"Mana-mana parti yang menjadi kerajaan wajib menunaikan amanah kepada rakyat secara langsung tanpa perlu membuat aku janji terlebih dahulu.

"Hal ini laksana seorang lelaki yang bakal menjadi suami yang tidak perlu berjanji atau menandatangani aku janji ketika akad nikah untuk melaksanakan tanggungjawab memberikan nafkah apabila menjadi ketua keluarga," katanya lagi.

Bersatu merupakan parti sahabat kepada PAS selepas kedua-duanya membentuk PN pada awal 2020. Gabungan itu terbentuk selepas insiden Langkah Sheraton yang menyaksikan PH - yang mendapat mandat rakyat dalam PRU 2018 - dijatuhkan.

Bagaimanapun hubungan di antara PAS dan Bersatu mengeruh sebelum menjadi tegang ekoran pelbagai peristiwa, termasuk tersingkirnya Mohd Shukri Ramli (Adun Sanglang) daripada jawatan Menteri Besar Perlis.

Jawatan itu kemudian digantikan dengan Adun Bersatu, Abu Bakar Hamzah. Ia menjadikan Perlis satu-satunya negeri yang bukan ditadbir oleh seorang menteri besar dari PAS. Tiga negeri lain yang diketuai PAS ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah.