PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggunakan perumpamaan jika speaker Dewan Rakyat menampar pegawainya untuk menegaskan jasa dan sifat baik seseorang tidak membebaskan dia daripada proses undang-undang.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kes Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain.

"Tetapi saya tidak boleh katakan oleh kerana speaker ini orang baik, maka speaker boleh tampar pegawai.

"Kalau Speaker tampar, saya tidak boleh jamin Speaker boleh diselamatkan mengikut proses hukum," katanya ketika menjawab soalan tambahan Shahidan Kassim (PN-Arau) pada sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan mempersoalkan keputusan mengembalikan Shuhaily kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun pegawai itu menunjukkan prestasi cemerlang.

Anwar berkata tindakan terhadap Shuhaily bermula daripada laporan polis dan dakwaan yang dikemukakan perlu disiasat mengikut proses undang-undang.

Walaupun mengenali Shuhaily, mengetahui prestasinya dan bersimpati secara peribadi, dia menegaskan setiap pegawai mesti menjalankan tugas secara profesional serta mematuhi undang-undang.

“Kalau tanya saya dari segi peribadi, memang ada simpati. Tetapi kalau ada dakwaan, sama ada daripada orang ramai atau polis, itu soal siasatan. Janganlah minta saya atau Menteri Dalam Negeri campur (tangan),” katanya.

Menurut Anwar, keputusan untuk mendakwa terletak pada Jabatan Peguam Negara (AGC) berdasarkan hasil siasatan polis.

Dia turut menolak anggapan tindakan berkenaan bermotifkan politik.

“Apabila seseorang penjawat awam didakwa, (lazimnya) dia akan dipindahkan atau dilepaskan daripada jawatan mengikut prosedur. Janganlah kita anggap ini sebagai satu isu kontroversi atau (bermotifkan) politik, tidak ada,” katanya.

Anwar turut merujuk kes bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor sebagai contoh pegawai yang berdepan tindakan undang-undang walaupun mempunyai rekod perkhidmatan.

Abdul Rahim memukul Anwar di dalam tahanan pada 20 Sept 1998 dan dijatuhkan hukuman penjara dua bulan pada 15 Mac 2000.

Status penempatan Shuhaily

Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Okt atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Sept.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kes itu mendapat perhatian selepas rakaman CCTV berkaitan insiden berkenaan tular.

AKPS sebelum ini mengesahkan ketulenan rakaman tersebut dan memaklumkan insiden berlaku ketika Shuhaily memeriksa operasi agensi itu sebagai persediaan menyambut ketibaan delegasi dan kru Grand Prix Formula 1 Bahrain 2026 di Sepang.

Dua anggota polis berkenaan membuat laporan polis berasingan pada 29 dan 30 Sept, manakala Shuhaily turut membuat laporan polis.

Pada 29 Okt, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan keputusan KDN untuk mengembalikan Shuhaily, seorang pegawai polis yang dipinjamkan ke AKPS, kepada PDRM.

Pada 30 Okt, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail menjelaskan penugasan baru Shuhaily hanya akan ditentukan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memendekkan tempoh pelantikannya sebagai ketua pengarah AKPS.

Menurutnya, PDRM sedang menunggu nasihat perundangan AGC sebelum surat rasmi dikemukakan kepada Seri Paduka Baginda.

Pada 2 Nov, Shuhaily kembali bertugas di AKPS selepas bercuti dan mempengerusikan Mesyuarat Commander’s Call Bil. 3/2026 yang menghimpunkan pegawai kanan serta komander pintu masuk agensi itu.