Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sementara pemimpin kanan PAS menolak perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno, dewan Pemudanya pula hari ini mengambil langkah baru dengan mengadakan perbincangan ilmiah dengan pergerakan Pemuda Umno.

pas umno pemuda talks parliment 010709 nasrudin hassan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan mengumumkan perkara itu dalam satu sidang akhbar bersama dengan Timbalan Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, di lobi Parlimen hari ini.

Nasrudin berkata, beliau menghantar surat jemputan kepada Razali untuk mengadakan wacana ilmiah berhubung isu 'benarkah perjuangan Umno tidak bercanggah dengan Syariat Islam'.

Katanya, ia ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu pada 21 Jun lalu, yang menyamakan Umno dengan ajaran sesat dan juga komunis.

Berikutan itu, Pemuda Umno Kelantan telah membuat laporan polis terhadap Nik Aziz pada 25 Jun.

Langkah pertama ke arah itu, katanya, Pemuda PAS akan menemui Pemuda Umno untuk membincangkan tarikh, masa, tempat dan format wacana tersebut.

“Pemuda PAS memberi tempoh seminggu kepada Pemuda Umno untuk menjawab jemputan tersebut.

pas umno pemuda talks parliment 010709 02 “Datuk Razali berkata, Pemuda Umno akan meneliti jemputan tersebut sebelum memberi jawaban,” katanya.

Reaksi Pemuda K'tan

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Annuar Saffian berkata, pihaknya sedia menyahut cabaran wacana itu jika diarahkan oleh Pemuda Pusat.

Ketika dihubungi hari ini, beliau berkata, Pemuda Umno negeri juga ingin tahu apa yang menyebabkan Nik Aziz yang menyamakan Umno dengan ajaran sesat dan juga komunis.

“Tetapi Pemuda Umno belum memaklumkan perkara itu kepada kami tetapi biasanya jika Pemuda PAS pusat membuat jemputan, ia adalah tanggungjawab Pemuda Umno Pusat.

“Kita boleh menerima wacana kerana debat hanya membuang masa,” katanya.

Annuar juga berkata, Pemuda Umno negeri berharap wacana itu bukannya untuk mencari siapa menang, siapa kalah.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah untuk mencari titik permulaan ke arah penyatuan orang Melayu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyambut baik inisiatif Dewan Pemuda PAS untuk mengadakan perbincangan tersebut.

Penjelasan Pemuda PAS

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada jam 6 petang tadi, Dewan Pemuda PAS menafi laporan beberapa media mengenai kerjasama antara dewan itu dengan Pemuda Umno - melalui penubuhan sekretariat bersama - sewaktu menyerah surat jemputan berkenaan tengahari tadi.

Setiausahanya, Kamaruzaman Mohamad berkata sekretariat yang dicadangkan oleh Razali dan telah dijelaskan oleh Nasrudin dalam sidang akhbar tengahari tadi ialah hanya sebuah jawatankuasa teknikal bersama untuk membincangkan tarikh, masa, keanggotaan dan format wacana tersebut sahaja.

Menurutnya, wacana ilmiah tersebut adalah sambungan daripada cabaran debat yang telah dikemukakan oleh Nik Aziz kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, terhadap kesesatan perjuangan Umno.

"Jemputan wacana ini juga adalah retetan daripada cabaran debat oleh Pemuda Umno Kelantan terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz atas isu yang sama," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Dewan Pemuda PAS sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang telah melaporkan secara salah mengenai isu tersebut.

ADS