Aliff Daniel, Nur Ranea dan ibu lafaz taubat
Aliff Daniel Adli yang mencetuskan kontroversi selepas menyertai ritual Hindu sempena Thaipusam, hari ini melafazkan taubat secara terbuka bersama ibu dan adik perempuannya.
Ibunya, Rohizayanti Ramli dan adiknya, selebriti media sosial dan pelakon Nur Ranea Ezreen Adli turut berikrar memperkukuh pengetahuan agama serta membantu proses pemulihannya.
Ketiga-tiga mereka membuat pengisytiharan itu pada Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam, sehari selepas mahkamah memerintahkan Aliff menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan.
Majlis itu disaksikan antaranya Mufti Selangor Anhar Opir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Akidah Mais Khadijah Mohd Khambali@Hambali.
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-05112026-55_725438.jpg)
Dalam pengisytiharannya, Aliff mengakui pernah menyertai ritual keagamaan selain Islam yang disifatkannya bertentangan dengan pegangan agamanya.
Dia turut melafazkan syahadah dan berikrar mendalami ajaran Islam.
“Dengan ini, saya sesungguhnya bertaubat, kembali ke pangkal jalan, berusaha untuk belajar, mendalami dan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan pengetahuan ilmu yang benar,” katanya.
Aliff mengakui pernah berpuasa selama seminggu sebelum menyertai ritual agama Hindu di Batu Caves pada Januari 2024.
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-05112026-50_692475.jpg)
Dia turut mengakui pernah melakukan ritual agama Hindu dan Buddha di Indonesia, India dan Thailand.
Pada majlis sama, Rohizayanti mengakui kekhilafannya dalam membimbing anaknya, yang dikaitkannya dengan kekurangan ilmu agama, kelekaan terhadap urusan duniawi serta kelemahan memantau pergaulan dan persekitaran anak.
“Saya mengakui telah terleka daripada memelihara fitrah asal dan membimbing anak kandung saya sehingga menyebabkan dia terjebak, terpengaruh, mengamalkan fahaman serta doktrin yang terpesong daripada pegangan akidah Islam yang sebenar,” katanya.
Rohizayanti berikrar menghadiri kelas pengajian agama yang sahih serta bekerjasama dengan pihak berkuasa agama untuk membantu pemulihan Aliff.
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-05112026-48_999165.jpg)
Sementara itu, Nur Ranea mengakui kekurangan dirinya dalam memberikan teguran, nasihat dan sokongan kepada abangnya.
“Saya dengan penuh rasa sesal dan rendah diri mengakui di atas segala bentuk kekhilafan, kelalaian, mahupun kelemahan saya sebagai seorang adik dalam menjaga kemurnian institusi kekeluargaan, sehingga abang kandung saya telah terjebak, terpengaruh dan terlibat dalam aktiviti ritual serta amalan yang nyata menyeleweng,” katanya.
Dia turut berazam mendalami ilmu agama serta membantu abangnya menerusi pendekatan kasih sayang.
Semalam, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di Kuang memerintahkan Aliff menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam.
Hakim Syarie Mohd Faizal Habib mengeluarkan perintah itu selepas Aliff mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah di sebuah kuil di Batu Caves pada malam 24 Januari 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menggunakan kuasa mengikut Seksyen 54(1) enakmen sama untuk memerintahkan pemulihan sebagai ganti hukuman denda atau penjara.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-05112026-52_223529.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.