Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 4.12pm Walaupun diberikan tempoh sehingga hari ini untuk kembali ke pangkuan Tengku Temenggong Kelantan, Manohara Odelia Pinot tetap enggan mematuhi arahan suaminya.

Ibu bekas model muda itu Daisy Fajarina mengesahkan bahawa anaknya tidak akan pulang ke Malaysia seperti arahan Tengku Muhammad Fakhry ibni Sultan Ismail Petra.

"Dia boleh dapat apa sahaja di Kelantan. Tetapi tidak semua di dunia ini dia bisa dapat. Dia bukan anakanda dunia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

manohara odelia pinot malaysiakini interview 290609 06 Ditanya persediaannya menghadapi kemungkinan dikenakan tindakan mahkamah, Daisy berkata beliau dan anaknya "tidak akan putus asa" dan "selalu bersemangat tinggi".

Menurutnya, Manohara dimaklumkan berhubung perintah suaminya itu melalui sepucuk surat pada Ahad lepas, dua hari selepas amaran kerabat tersebut.

Pada 26 Jun lalu, Tengku Muhammad Fakhry mengarahkan isterinya - yang lari ke Jakarta sebulan lalu - taat kepadanya atau akan mengambil tindakan selanjutnya.

Putera Sultan itu, yang juga dikenali Tengku TT, bagaimanapun tidak menyatakan bentuk tindakan yang bakal diambilnya.

Usaha Malaysiakini menghubungi dua peguamnya setakat ini belum berhasil.

Blog pembela Tengku TT hari ini menggesa Manohara kembali atau akan dianggap menderhaka (nusyuz) terhadap kerabat diraja tersebut seperti diperuntukkan bawah enakmen keluarga Islam.

"Hari ini 2 Julai 2009 adalah tarikh terakhir untuk Manohara pulang taat kepada suaminya, sekiranya Manohara masih berdegil maka akibatnya beliau sendiri akan menanggungnya," coret Truth Appeared .

"Sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan, sementara peluang masih ada."

Selain menerbitkan siri foto eksklusif Manohara-Tengku TT, blog itu sering memuatkan kenyataan menyokong kerabat tersebut sejak krisis rumahtangganya muncul penghujung April lepas.

ADS