Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS seru ahli sertai demo anti-ISA
Diterbitkan:  Jul 15, 2009 6:41 PM
Dikemaskini: 11:58 AM

PAS menyeru ratusan ribu ahlinya agar menyertai demonstrasi besar membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menyerahkan memorandum ke Istana Negara, awal bulan depan.

Tinggal lagi dua minggu sebelum program 1 Ogos itu, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad juga mengarahkan semua ketua penerangan negeri dan peringkat kawasan menganjurkan ceramah dan mengedar risalah menggalakkan orang ramai menyertai Himpunan MANSUH.

"Sehubungan dengan itu semua ahli PAS diminta untuk hadir memberikan sokongan terhadap perhimpunan ini," katanya hari ini.

"Semua ketua-ketua penerangan negeri dan PAS kawasan diminta mengadakan siri-siri ceramah dan edaran risalah penerangan berhubung kezaliman akta ISA serta mengajak lebih ramai rakyat untuk menghadiri Himpunan ini."

Dalam kenyataan yang sama, Idris turut mengajak semua NGO dan individu yang prihatin untuk hadir bagi memastikan kerajaan memansuhkan akta kontroversi tersebut "yang sering dijadikan alat politik segelintir pihak berkepentingan untuk menakutkan rakyat."

NONE Kelmarin, Pemuda Gerakan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap - dan turut serta dalam - demonstrasi anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), yang disertai pembangkang dan NGO hak asasi.

"Pemuda Gerakan akan menggerakan sekumpulan ahli (Pemuda) untuk menyokong perhimpunan aman MANSUH pada 1 Ogos ini bersempena ulang tahun ke-49 (pelaksanaan) ISA," kata ketua biro khidmat guaman dan aduan awamnya Andy Yong.

Pada 22 Jun lalu, GMI secara rasmi mengumumkan perhimpunan itu dengan mensasarkan jumlah "sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)", dua tahun lalu.

Pada perarakan ke Istana Negara pada November 2007, kira-kira 40,000 ribu orang turun bersama-sama dengan tokoh-tokoh pembangkang.

Tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960.

Jumaat lepas, mesyuarat jawatankuasa induk Himpunan MANSUH yang dianggotai pemimpin parti politik, NGO, mahasiswa sepakat menetapkan perhimpunan tersebut jam 2 petang di tiga lokasi utama di Kuala Lumpur - tempat-tempat itu belum diputuskan.

Menurut kenyataan GMI, mesyuarat itu juga memutuskan untuk menghantar satu "deklarasi rakyat" kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ia juga menggalakkan orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan tersebut agar memakai pakaian warna tema merah hitam.

Himpunan MANSUH diadakan sebagai kesinambungan kempen GMI untuk membela nasib tahanan dan keluarga, dan juga menutup Kem Kamunting, Taiping.

Maklumat berhubung demonstrasi itu boleh diperolehi di blog himpunanmansuhisa.wordpress.com , kain rentang, poster dan risalah di seluruh negara.

ADS