Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
23 kes baru H1N1 disahkan hari ini
Diterbitkan:  Jul 18, 2009 8:27 PM
Dikemaskini: Jul 20, 2009 3:20 AM

Sebanyak 23 kes baru influenza A (H1N1) disahkan hari ini, yang terdiri daripada 22 kes jangkitan tempatan dan satu kes import.

Manakala seorang pesakit Influenza A (H1N1) kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan hari ini.

Ini menjadikan kes H1N1 yang disahkan di Malaysia sehingga ini berjumlah 871 kes - iaitu 565 kes import dan 306 kes jangkitan tempatan - tetapi tiada kematian dilaporkan.

Manakala 16 daripada kes jangkitan tempatan hari ini melibatkan tiga kluster - pertama di Sekolah Menengah Sains Matang, Kuching (Sarawak) yang mempunyai 542 pelajar.

Sepuluh sampel yang diambil secara rawak disahkan positif H1N1 dan sekolah tersebut ditutup sehingga 23 Julai ini.

Kluster kedua berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, yang mempunyai 2,500 pelajar. Tiga daripada pelajar dari kelas yang sama, yang disahkan positif H1N1, telah dikuarantin di rumah sejak 15 Julai lalu.

Tindakan segera mengkuarantin tiga pelajar tersebut berjaya menghalang kes baru berlaku di kalangan pelajar sekolah berkenaan, tetapi pemantauan akan diteruskan di sekolah tersebut.

Kluster ketiga berlaku di Politeknik Kota, Melaka Tengah, Melaka yang mempunyai sejumlah 631 pelajar. Seramai 44 telah dikuarantin di satu blok yang khusus semenjak 16 Julai. Politeknik tersebut ditutup 24 Julai 2009.

Dirawat di ICU

Bagi enam kes jangkitan tempatan yang lain, dua kes sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh (1) dan Hospital Sultanah Aminah (1).

Kes yang dirawat di Hospital Sungai Buloh telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut. Pesakit merupakan pengidap penyakit lelah yang mendapat serangan akut lelah dan dimasukkan ke ICU petang semalam.

Bagi kes yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah pula, pesakit terbabit dimasukkan ke hospital kerana mengalami radang paru-paru.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan stabil. Baki empat kes lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah.

Bagi satu kes jangkitan import pula melibatkan seorang pelancong wanita warganegara Australia yang kini dirawat di Hospital Langkawi.

Dia tiba ke Malaysia dengan menaiki penerbangan Air Asia D72703 pada jam 4 petang 12 Julai 2009 dan kemudian ke menaiki Air Asia AK5320 ke di Langkawi dan tiba jam 9.10 pagi 13 Julai/

Dia mula sakit pada 14 Julai dan disahkan positif influenza A(H1N1) pada 17 Julai.

Daripada 871 kes, jumlah pesakit influenza A(H1N1) yang telah dibenarkan pulang dari hospital adalah seramai 730 orang (84 %) dan 5 orang (1%) sedang dirawat di hospital. Baki, 136 orang (15%) menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah.

ADS