Guan Eng gesa P Pinang tutup pintu pada Umno
Penasihat DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya “menutup pintu” kepada Umno, susulan cabaran Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada kerajaan persekutuan supaya menyingkirkan parti itu dari Putrajaya.
Dia turut mempersoalkan apakah Zahid berani mengemukakan cabaran sama kepada kerajaan Pulau Pinang, yang turut melibatkan wakil Umno dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK), dua pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.
“Adakah Zahid tidak berani berbuat demikian kerana walaupun tanpa dua wakil rakyat Umno di Pulau Pinang, kerajaan PH masih mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang?” soalnya dalam satu kenyataan.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata Umno tidak sepatutnya mengambil kesempatan daripada kedudukan parti itu yang masih berada dalam kerajaan negeri, tetapi pada masa sama bekerjasama dengan PN.
“Penyokong PH sedar bahawa Umno dan PAS akan terus mengamalkan politik ekstrem serta retorik yang memecahbelahkan rakyat terhadap PH demi meraih kuasa dengan apa jua cara," katanya.
/file/attachments/orphans/LimGuanEng11_478251.jpg)
Lim turut menggesa kerajaan Pulau Pinang menolak kepimpinan Umno dan BN yang “oportunis, tidak berprinsip dan hipokrit” dengan melaksanakan dasar yang mengutamakan rakyat.
“Atas sebab ini, kerajaan negeri Pulau Pinang perlu menutup pintu kepada Umno, PAS, MCA dan Gerakan dengan menangguhkan semua kenaikan caj dan fi, cukai tanah, tarif air serta kadar parkir.
“Penangguhan kenaikan caj dan fi, cukai tanah, tarif air serta kadar parkir oleh kerajaan negeri akan menghapuskan sebarang rasa tidak puas hati yang masih ada dan memulihkan keyakinan rakyat, selain menutup sebarang cubaan oportunis BN dan PN untuk mengambil kesempatan daripada isu-isu berkenaan,” katanya.
Dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno, Zahid mencabar kerajaan gabungan pimpinan PH supaya menyingkirkan Umno dari kerajaan dan mengadakan pilihan raya mengejut.
Timbalan perdana menteri itu turut mengecam penyokong PH yang menggesa Umno meninggalkan kerajaan, dengan mengingatkan bahawa gabungan itu tidak akan berada di Putrajaya tanpa sokongan BN.
Katanya, parti-parti lain yang membentuk kerajaan perpaduan hanya menyertainya selepas BN membantu PH memperoleh majoriti yang diperlukan pada 2022.
Sekiranya BN disingkirkan, kata Zahid, kerajaan persekutuan akan runtuh dan oleh itu perlu mandat perlu dikembalikan semula kepada rakyat.
/file/attachments/orphans/asddsadsasadsa_333526.jpg)
