Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 3.14pm PAS di peringkat pusat tidak akan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Selangor dalam isu pengharaman alkohol, tegas setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali hari ini.

"Kita serahkan kepada kebijaksanaan di peringkat negeri untuk menyelesaikan isu ini kerana mereka yang lebih tahu.

"Sebab itu, pimpinan negeri dan pimpinan kerajaan, Tan Sri Khalid (Ibrahim) sebagai menteri besar, kita letakkan keyakinan bahawa beliau mampu menyelesaikan masalah ini," katanya di sidang medi di ibu pejabat PAS di ibu negara pagi tadi.

Mustafa mengulas kontroversi terbaru antara Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali, juga exco hal-ehwal Selangor, yang mahu menegaskan pengharaman minuman itu di kalangan orang Islam dan turut meminta seorang exco lagi, yang juga pemimpin DAP, Ronnie Liu agar tidak campur tangan.

Mengulas lanjut desakan supaya Ronnie melepaskan portfolio kerajaan tempatan yang dikendalikannya sekarang, Mustafa berkata:

"(Perkara ini) tidak berbangkit di peringkat (PAS) pusat. Kita tidak bincang perkara ini. Sebab itu saya katakan tadi, perkara itu boleh diselesaikan di peringkat negeri. Dan kita tidak campur soal ini."

Beliau juga menolak dakwaan bahawa Dr Hassan membelakangi jawatankuasa PAS Selangor kerana perkara itu tidak pernah dibawa kepada mesyuaratnya tetapi hanya diputuskan di peringkat Dewan Harian PAS negeri.

Menurut Mustafa, sebelum di bawa ke peringkat negeri, dewan itu boleh memutuskan perkara yang memerlukan respons segera sebelum dirujuk di peringkat jawatankuasa PAS negeri.

Tambahnya, sukar dan tidak praktikal untuk memastikan semua pemimpin parti peringkat negeri menyuarakan pandangan sebelum keputusan isu tersebut dibuat.

Diminta mengulas demonstrasi bersama Pemuda PAS-Umno bagi menyatakan bantahan terhadap Ronnie, Mustafa berkata beliau tidak tahu rancangan itu dan akan membuat semakan terlebih dahulu.

Sementara itu, Mustafa juga menjelaskan PAS Pulau Pinang akan mengirim tiga nama calon bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir untuk diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa pusat PAS hujung minggu ini.

"Secara lisannya (saya) diberitahu 8 haribulan (Ogos). Kita akan bersiaplah. Perkembangan kita (selanjutnya) pada 9 haribulan," katanya.

ADS