Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli, secara berseloroh berkata penyokong parti itu akan “menyembelihnya” jika Bersama menyertai mana-mana gabungan politik.

Menurutnya, pengundi semakin bosan dengan kerjasama politik yang dibentuk atas dasar perebutan kuasa.

“Saya rasa kalau Bersama buat keputusan tiba-tiba nak masuk, nak bincang dengan gabungan, dia orang (penyokong) ini akan sembelih saya.

“Jadi keadaan politik di Malaysia sekarang ini jadi kucar-kacir sebab gabungan dan gabungan ini atas alasan pragmatik kononnya untuk berkuasa,” katanya kepada media ketika mengiringi calon Bersama di DUN Bukit Katil, Melaka, hari ini.

Bersama bertanding secara solo dengan meletakkan calon di 16 kerusi pada PRN Melaka yang akan berlangsung pada 14 Nov ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata rakyat akhirnya akan mencari alternatif kepada keadaan politik yang kucar-kacir akibat pembentukan pelbagai gabungan.

“Yang rakyat nampak ialah kucar-kacir politik ini, sebenarnya mencelarukan semua, jadi memang kalau nak kira Bersama ambil risiko kerana conversation wisdom kena ada gabungan semua.

“Tapi saya rasa parti-parti politik juga terlalu yakin dengan rakyat kononnya akan kekal dengan mereka sampai bila-bila.

“Rakyat bila sampai masa dia bosan dan dia mula mencari antithesis kepada apa yang berlaku, antithesis kepada kecelaruan politik yang berlaku ini ialah satu parti yang berprinsip, yang berani untuk masuk sendiri dan kekal dengan prinsip sendiri,” jelasnya yang juga bekas timbalan presiden PKR.

DUN Melaka yang mempunyai 28 kerusi dibubarkan pada 23 Sept selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 Nov.

Seramai 687,697 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.

Pada PRN Melaka ke-15 yang berlangsung pada 20 Nov 2021, BN memenangi 21 kerusi DUN, dengan Umno menguasai 18 kerusi, MCA (dua) dan MIC (satu), sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.

PH pula memenangi lima kerusi menerusi DAP (empat) dan Amanah (satu), manakala PN memperoleh dua kerusi.