Penamaan calon bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka sudah selesai dan kempen kini bermula.

Malaysiakini meneliti beberapa kerusi yang menjadi tumpuan serta faktor yang boleh mempengaruhi persaingan antara parti.

Di mana kerusi panas?

Dua kerusi yang perlu diberi perhatian ialah Ayer Keroh dan Bukit Katil.

Kedua-duanya merupakan kerusi Pakatan Harapan (PH) yang berdepan risiko tewas kepada parti lawan.

Apa yang berlaku di Ayer Keroh?

Di Ayer Keroh, pertandingan empat penjuru menyaksikan penyandang daripada DAP, Kerk Chee Yee, berdepan Pengerusi Gerakan Melaka, Gan Peng Lam, serta calon Bersatu dan Bersama.

Antara faktor yang boleh mempengaruhi keputusan ialah perubahan demografi pengundi.

Ayer Keroh dahulunya mempunyai majoriti pengundi Cina tetapi kini menyaksikan peratusan pengundi kaum itu merosot kepada 47.6 peratus pada 2022. Pengundi Melayu pula membentuk 42 peratus, manakala lapan peratus lagi ialah pengundi India.

Perubahan ini membuka ruang kepada Gerakan untuk merampas kerusi berkenaan, khususnya jika parti itu berjaya menarik sokongan pengundi India, selain undi Melayu daripada penyokong BN dan PN.

Bagaimanapun, perkara itu tidak semestinya berlaku. Pada PRU15, kira-kira 60 peratus pengundi Ayer Keroh menyokong PH bagi kerusi Parlimen.

DAP dan PH juga berdepan risiko kehilangan sebahagian undi Cina sekiranya pengundi kaum itu beralih sokongan kepada Bersama sebagai tanda protes.

Sebaliknya, peluang PH untuk mempertahankan kerusi ini mungkin meningkat jika Bersatu berjaya memecahkan sokongan PN, yang mencatatkan 17.1 peratus pada PRU15.

Bagaimana pula dengan Bukit Katil?

Di Bukit Katil, bekas Ketua Menteri, Adly Zahari, berdepan cabaran daripada pengukuhan sokongan terhadap BN dan PN.

Pada PRU15, PN memperoleh 24.2 peratus undi di kawasan ini, manakala BN meraih 34.9 peratus dan PH sebanyak 40.1 peratus.

Pada PRN 2021, Adly berjaya mempertahankan kerusi itu dengan memperoleh 41.6 peratus undi, dibantu perpecahan undi antara BN dan PN.

Namun, kali ini PH pula berdepan risiko kehilangan undi akibat pertandingan beberapa penjuru, terutama dengan kehadiran Bersama.

Undi PH juga berpotensi berpecah dengan penyertaan calon bebas, Abu Bakar Sabudin, 65, yang merupakan seorang kontraktor, menurut laporan Sinar Harian.

Bolehkah PH merampas mana-mana kerusi?

Peluang itu agak terbatas sekiranya BN dan PN berjaya mengekalkan sokongan yang diperoleh pada PRU15.

Machap Jaya merupakan antara kerusi yang boleh menyaksikan persaingan sengit, dengan PH memperoleh 45.9 peratus undi pada pilihan raya umum lalu.

Bekas Adun, Ginnie Lim, yang memenangi kerusi itu pada 2018, kini ditugaskan untuk merampasnya semula daripada BN.

Bagaimanapun, usaha itu berdepan cabaran dengan kehadiran Bersama yang turut bertanding di kerusi berkenaan.

Bagaimana pula dengan kerusi PH yang lain?

Tiga lagi kerusi yang kini dikuasai PH ialah Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. Ketiga-tiganya merupakan kubu kuat DAP.

Pada PRU15, PH memperoleh antara 63 hingga 83 peratus undi di kerusi berkenaan.

Bersama turut meletakkan calon di ketiga-tiga kerusi itu. Namun, belum dapat dipastikan sejauh mana sokongan yang mampu diraih parti berkenaan dan sama ada ia boleh menjejaskan penguasaan DAP.

Bagaimana pula dengan Bersama?

Bersama meletakkan calon di 16 kerusi di Melaka selepas mengumumkan senarai calonnya dua bulan lalu dalam usaha memperluas sokongan.

Buat masa ini, sasaran parti itu ialah memastikan calonnya tidak kehilangan wang deposit, selepas gagal mencapai sasaran berkenaan pada penampilan terakhirnya dalam pilihan raya di Johor.

Dalam persaingan yang turut membabitkan PH, parti pimpinan Rafizi Ramli itu berdepan cabaran untuk mendapatkan sokongan yang mencukupi.

Bagaimanapun, keputusan PH untuk tidak bertanding di Sungai Udang dan Bemban membuka ruang kepada Bersama untuk menarik sebahagian undi yang sebelum ini menyokong gabungan itu.

Pada PRU15, PH memperoleh 39.2 peratus undi di Bemban dan 19.4 peratus di Sungai Udang.

Jika berjaya menarik sebahagian sokongan PH, Bersama berpeluang memperoleh undi mencukupi untuk memastikan calonnya tidak kehilangan deposit. Calon perlu mendapat sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi untuk berbuat demikian.

Peluang itu mungkin lebih terbuka di Bemban, yang menyaksikan Bersama meletakkan calonnya yang boleh dianggap paling dikenali, Solehin Saleh, abang kepada Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh.

Menariknya, kancil yang menjadi logo Bersama turut mempunyai kaitan rapat dengan sejarah serta identiti Melaka.

Menurut hikayat, Parameswara pernah menyaksikan seekor kancil menendang anjing buruannya hingga terjatuh ke dalam sungai. Kagum dengan keberanian haiwan kecil itu, Parameswara memilih kawasan berkenaan sebagai tapak untuk membuka kerajaan baharu yang kemudiannya dikenali sebagai Kesultanan Melaka.

Bagaimana pula dengan Akmal dan BN?

BN mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam PRN kali ini.

Daripada 23 kerusi yang ditandingi, 20 daripadanya merupakan kerusi yang dimenangi BN sebelum ini. Baki tiga kerusi termasuk Sungai Udang, yang dimenangi PN.

Akmal, yang sebelum ini memberi bayangan akan berpindah dari Merlimau, kekal mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal kedua.

MCA pula mengambil risiko dengan meletakkan calon di kerusi tradisinya, Bandar Hilir dan Kota Laksamana, yang kini menjadi kubu kuat DAP.

Jika BN dan PN berjaya mengekalkan sokongan yang diperoleh sebelum ini, BN berpeluang mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenanginya. Sebaliknya, usaha MCA merampas semula dua kerusi yang dikuasai DAP dijangka berdepan cabaran.

Tidakkah Bersatu akan menjadi ancaman?

Kekuatan Bersatu di Melaka selepas perpecahan dalam PN masih belum jelas.

Sebahagian besar pemimpin utama Bersatu di negeri itu, termasuk bekas pengerusi Bersatu Melaka, Mas Ermieyati Samsudin, menyokong parti serpihannya, Wawasan Negara dan PN.

Malah, PAS juga dilihat mempunyai pengaruh lebih besar di Melaka berbanding Bersatu.

Walaupun Bersatu masih mempunyai kelompok penyokong, belum dapat dipastikan sama ada sokongan itu mencukupi untuk menjejaskan kedudukan BN dan PN.

Seperti Bersama, Bersatu juga perlu membuktikan bahawa mereka masih mempunyai sokongan mencukupi untuk memastikan calon tidak kehilangan deposit di tujuh kerusi yang ditandingi.

Ada perkara menarik lain mengenai PRN Melaka?

Di Gadek, Laila Norinda Maon daripada Putra menjadi satu-satunya calon Melayu selepas calon Bersatu, Zamri Abu Bakar, menarik diri.

MIC, DAP dan Bersama masing-masing meletakkan calon India, iaitu S Nadarajah, K Jegasilan dan B Laveen, di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu itu.

Penyandang kerusi berkenaan ialah Naib Presiden MIC, VP Shanmugan, yang merampas semula kerusi itu untuk BN dengan majoriti 559 undi pada 2021 selepas DAP memenanginya pada 2018.

Selain Abu Bakar, dua lagi calon bebas turut bertanding, iaitu Abd Halim Said di Bemban dan Norrizan Jantan di Sungai Rambai.

PRN Melaka juga memperlihatkan jurang penyertaan antara lelaki dengan wanita dalam pilihan raya. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya 14 daripada 79 calon yang bertanding ialah wanita.

Persaingan pada PRN Melaka boleh memberi kesan kepada landskap politik di peringkat Persekutuan, terutama ketika spekulasi mengenai kemungkinan PRU mengejut semakin meningkat.

Selepas BN mencatat kemenangan besar di Johor dan Negeri Sembilan, timbul spekulasi bahawa gabungan itu mahu memanfaatkan momentum berkenaan untuk merampas semula pentadbiran Putrajaya.

PRN Melaka bagi memilih wakil ke Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 28 kerusi itu akan berlangsung pada 14 Nov, manakala pengundian awal ditetapkan pada 10 Nov.