Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAPSY: Jeff Ooi tak wajar heret JIM
Diterbitkan:  Aug 6, 2009 2:25 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang berasa tidak wajar bagi ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi mengheret Jemaah Islah Malaysia (JIM) dalam pertelingkahannya dengan ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd Razali Abdullah.

Oleh itu, Setiausaha DAPSY negeri itu, Ng Wei Aik meminta perselisihan faham di antara Jeff dan JIM ditangani segera.

Jeff sebelum dilaporkan mendesak Mohd Razali - ahli jawatankuasa Pusat Khidmad Krisis Sehenti (OSCC) di bawah MPPP - diberhentikan daripada menganggotai jawatankuasa tersebut.

Jeff mendakwa Mohd Razali seorang 'ekstremis agama' kerana beliau merupakan ahli JIM, dan JIM pula meletakkan visinya untuk membangun sebuah negara yang melaksanakan syariat Islam sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ng berkata: "Bagi DAPSY, JIM merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dan selama ini, kami pernah bekerjasama untuk memperjuangkan pelbagai isu melalui gerakan belia, gerakan mahasiswa dan gerakan reformasi.

"Kita berkongsi prinsip-prinsip dan pendirian yang sama terhadap pelbagai isu yang mencabuli hak-hak asasi manusia dan keadilan sejagat," kata Ng yang juga setiausaha politik Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Oleh itu, katanya, DAPSY berpendapat JIM bukanlah sebuah gerakan ekstremis, tetapi gerakan Islam yang menjadikan aktiviti-aktiviti dakwah serta pembangunan sosial, sebagai teras aktivismenya.

"DAPSY memandang serius terhadap kenyataan Y.B. Jeff Ooi yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam.

"Namun, kami percaya ini bukanlah tujuan asal Y.B. Jeff Ooi untuk menyinggung perasaan umat Islam," tambahnya.

Oleh itu, katanya, DAPSY berharap hubungan pemimpin DAP atau DAPSY dengan JIM secara khususnya atau masyarakat Islam secara amnya, tidak akan terjejas dengan kenyataan Jeff itu.

"Dengan itu, DAPSY berharap sebarang perselisihan faham di antara Y.B. Jeff Ooi dan JIM dapat ditangani dengan segera," tegasnya lagi.

Jeff juga merupakan ketua kakitangan di pejabat ketua menteri serta ahli jawatankuasa pusat DAP.

ADS