Penganjur: Kehadiran kepala lembu satu misteri

   

Pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk Seksyen 23 Shah Alam, Mahyuddin Manaf berkata kehadiran kepala lembu sewaktu protes membantah pembinaan kuil di kawasan tersebut semalam, masih merupakan satu misteri.

"Kami melakukan bedahsiasat (terhadap protes tersebut) tetapi kami tidak dapat mengesan orang yang membawanya,” katanya kepada Malaysiakini.

Mahyuddin juga tidak pasti sama ada sesetengah daripada mereka yang menyertai protes itu adalah penduduk sebenar Seksyen 23.

Katanya, terdapat beberapa pemimpin NGO yang turut hadir semalam, tetapi beliau tidak mengenali mereka secara peribadi.

Beliau juga menegaskan bahawa protes tersebut tidak berniat untuk mencetuskan ketegangan kaum tetapi sebaliknya untuk menyelesaikan apa jua masalah yang berkaitan dengannya.

Beliau yang mengaku seorang ahli PAS, bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata beliau tidak mahu isu tersebut diperbesar-besarkan.

Menurutnya, apa yang dihasratkan ialah untuk mengadakan satu protes secara aman.

Pada mulanya, jelas Mahyuddin, ahli jawatankuasa berkenaan merancang untuk mengadakan demonstrasi yang disertai kira-kira 3,000 orang tetapi beliau membantah idea itu kerana mahu protes itu diadakan secara aman.

Mahyuddin juga menegaskan bahawa beliau bukan seorang yang rasis.

Dari awal lagi, tegasnya, beliau mementingkan sensitiviti agama dan mahukan perpaduan.

Katanya, mereka bukan menolak kuil, tetapi tidak mahu ia dibina di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

[Baca berita penuh]

Malaysiakini
terkini untuk anda