PRN Melaka: MCA dapat satu lagi kerusi - Bandar Hilir
MCA hari ini diberikan satu lagi kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya negeri Melaka pada 14 November ini.
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, parti itu kini mendapat tambahan kerusi Bandar Hilir, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang diamanahkan kepada parti komponen BN tersebut menjadi tiga.
/file/attachments/orphans/WeeKaSiong2_571419.jpg)
"Ini disahkan setelah perbincangan terakhir antara BN dengan pihak Perikatan Nasional (PN) dan setelah dimuktamadkan jumlah kerusi, akhirnya MCA diberi satu lagi kerusi untuk bertanding di satu kawasan yang majoritinya Cina iaitu DUN Bandar Hilir.
"Jadi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN pada jam 4 tadi telah menyerahkan watikah kepada calon yang kita putuskan seorang wanita berusia 38 tahun namanya Jasmine Low Hui Yi.
"Jadi, saya rasa persetujuan ini diberikan oleh pihak PN juga dan secara rasmi memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri dan urusan ini dibuat pada hari ini juga dan kita telah memuktamadkan semua proses termasuklah penyampaian watikah," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Wee berkata, kerusi berkenaan pernah ditandingi parti itu pada PRN yang lalu.
Kerusi itu pada asalnya antara tujuh kerusi yang ditinggalkan BN, dilihat bagi membuka laluan kepada sekutu baru mereka PN.
Bagaimanapun, difahamkan tiada parti PN teruja untuk bertanding di tiga kerusi kubu kuat DAP itu, iaitu Bandar Hilir, Kesidang dan Kota Laksamana.
Ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu mempunyai jumlah pengundi Cina yang ramai dan juga merupakan kawasan penyokong DAP yang tegar.
/file/attachments/orphans/Wee2_554738.jpg)
Di Bandar Hilir misalnya mempunyai 73 peratus pengundi Cina, berbanding Melayu hanya 12.9 peratus, India (6.4 peratus) dan lain-lain (6.8 peratus).
Daripada tujuh kerusi itu, Malaysiakini difahamkan PAS akan bertanding di kawasan majoriti Melayu di Bukit Katil dan Paya Rumput manakala Parti Wawasan Negara akan bertanding di Bemban.
Kesidang dan Kota Laksamana mungkin ditandingi oleh PAS atau Wawasan bagi mengelakkan kemenangan mudah kepada PH yang diwakili oleh DAP.
Parti Bersama Malaysia yang diasaskan bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli telah menyatakan hasrat mencuba nasib di 16 kerusi, termasuk di Kesidang dan Kota Laksamana.
Terdahulu, MCA dilihat tidak berpuas hati dengan hanya diperuntukkan dua kerusi iaitu di Machap Jaya dan Kelebang, yang antaranya menyaksikan Wee balik awal ketika pengumuman calon BN di Ayer Keroh, Sabtu lepas.
Bagaimanapun, semalam dia menganggap itu itu selesai. MCA juga dilaporkan akan diperuntukan dua daripada lima Adun lantikan dalam DUN Melaka.
‘Maruah lebih penting’
Terdahulu, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) memutuskan tidak bertanding dalam PRN Melaka selepas tidak diberikan kerusi dikehendaki.
Mereka malah menolak bertanding di Banda Hilir, Kesidang dan Kota Laksamana yang setakat semalam difahamkan masih kosong.
"Maruah dan prinsip perjuangan lebih penting daripada mengejar kerusi yang tidak relevan,” kata Presiden MIPP, SP Punithan kepada Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/07/9cf76084cfcad0b0ef6ee4bc73f3e668.jpg)
Menurut Punithan, semangat berpasukan, saling menghormati dan keterangkuman merupakan asas penting dalam sesebuah gabungan politik.
Melaka bakal menyaksikan kerjasama seterusnya BN-PN selepas kejayaan formula itu di Johor dan Negeri Sembilan.
Gabungan PN akan mengumumkan calonnnya malan ini di Melaka.
Pada PRN lepas, BN memenangi 21 kerusi, Pakatan Harapan (PH) lima kerusi dan PN dua kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari mengundi PRN Melaka ke-16, dengan penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.
Seramai 687,697 pengundi layak mengundi berdasarkan daftar pemilih terkini sehingga 22 September.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/wee1_331386.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.