Kerajaan tandatangani CSA bersama 6 MP Bersatu, tujuh lain
Kerajaan hari ini menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) dengan enam anggota Parlimen Bersatu yang diketuai presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, serta tujuh yang lain termasuk anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Malaysiakini difahamkan baki enam anggota Parlimen berkenaan terdiri daripada bekas wakil rakyat Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mereka adalah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), and Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Anwar dalam satu hantaran di Facebook mengesahkan majlis menandatangani perjanjian itu yang berlangsung di Parlimen, dengan kerajaan diwakili Timbalan Perdana Menteri II Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said serta penasihat kanan politik kepada perdana menteri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Enam ahli Parlimen Bersatu yang terbabit dalam MoU hari ini adalah Muhyiddin (Pagoh), Radzi Jidin (Putrajaya), Ali Biju (Saratok), Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Azman Nasrudin (Padang Serai).
/file/attachments/orphans/mou144_640213.jpg)
Bersatu kini mempunyai 19 ahli Parlimen, namun 13 daripada mereka berpihak kepada Presiden Wawasan Hamzah Zainudin yang juga ketua pembangkang.
Selain berkaitan belanjawan, CSA itu antara lain menetapkan sokongan ahli Parlimen tersebut terhadap perkara penting yang ingin dibentangkan kerajaan termasuk reformasi institusi berkaitan cadangan menentukan terma perdana menteri kepada maksimum dua penggal serta pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.
Sebagai balasannya, mereka diperuntukkan jumlah dana pembangunan kawasan yang sama seperti yang diterima wakil rakyat penyokong kerajaan ketika ini.
Semua anggota Parlimen pembangkang itu juga akan menyokong pentadbiran Anwar sehingga akhir penggal Parlimen semasa dan Belanjawan 2027.
Blok kerajaan di Dewan Rakyat kini mempunyai 149 ahli Parlimen, termasuk Pakatan Harapan (PH) dengan 75 kerusi, Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (tujuh).
Tiga ahli Parlimen Warisan turut berada dalam blok kerajaan, bersama masing-masing seorang daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
/file/attachments/orphans/mou1sddd_235281.jpg)
Lapan ahli Parlimen Bebas turut menyokong kerajaan, termasuk enam bekas wakil Bersatu.
Blok pembangkang pula terdiri daripada PAS dengan 43 ahli Parlimen, Bersatu (19), Wawasan (enam) dan Muda (seorang).
Empat kerusi kini kosong susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Dengan 218 ahli Parlimen aktif ketika ini, majoriti mudah memerlukan sekurang-kurangnya 110 sokongan, manakala majoriti dua pertiga memerlukan 146.
/file/attachments/orphans/muhyiddin13_184414.jpg)
Ditemui media selepas pemeteraian MoU itu, Muhyiddin berkata pemeteraian CSA tersebut mengambil format kerjasama dibuat kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk mewujudkan situasi negara yang lebih stabil, menguruskan urusan penting bagi rakyat, terutamanya dalam soal ekonomi, kos sara hidup dan sebagainya.
“Dengan adanya perjanjian ini, kestabilan itu dapat membantu dari segi kerajaan menguruskan negara dengan lebih teratur,” katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan pemeteraian itu tidak bermakna Bersatu menyertai kerajaan, sebaliknya parti itu akan kekal sebagai pembangkang untuk meneruskan tanggungjawab semak dan imbang.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/MuhyiddinYassin1_898123.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.