Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PLUS tawar 20 peratus diskaun tol
Diterbitkan:  Sep 11, 2009 5:12 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menawarkan diskaun tol sehingga 20 peratus kepada pengguna kenderaan kelas 1 di Lebuhraya Utara-Selatan dan ELITE untuk enam hari sempena perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Expressways, Nik Airina Nik Jaffar berkata tawaran diskaun itu antara pukul 12 tengah malam dan 7 pagi pada 16, 17, 18, 22, 24 dan 25 Sept.

"Diskaun itu adalah tambahan kepada diskaun 10 peratus yang sedia ada yang sedang dinikmati oleh pengguna kenderaan Kelas 1 di kedua-dua lebuh raya tersebut di luar waktu puncak setiap hari," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya diskaun itu merupakan sebahagian daripada Program Insentif Perjalanan untuk menghargai pengguna lebuh raya seperti yang disaran Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, baru-baru ini.

Nik Airina menasihatkan para pengguna agar mematuhi Cadangan Jadual Waktu Perjalanan (JWP) yang ditetapkan PLUS Expressways yang diperkenalkan sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata JWP yang dikuatkuasakan adalah untuk enam hari iaitu pada 18, 19, 22, 23, 26 dan 27 Sept ini.

"Kami menjangka jumlah trafik di lebuh raya kendalian kami terutamanya Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat secara mendadak kepada 1.3 juta kenderaan sehari pada waktu puncak berbanding satu juta kenderaan pada hari biasa," katanya.

"Jadi kami berharap agar pengguna dapat mengikuti jadual tersebut yang terbukti menjadi faktor utama menyumbang kepada kelancaran trafik di lebuh raya," katanya.

Beliau berkata semasa perayaan Tahun Baru Cina lepas, kira-kira 50 peratus pengguna lebuh raya mengikuti JWP.

Risalah JWP akan diedar kepada pengguna lebuh raya bermula minggu depan di semua plaza tol utama di negara ini, katanya.

Sejumlah 2,500 kakitangan PLUS dan 400 anggota Polis dan St Johns Ambulans ditempatkan di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya bagi menghadapi peningkatan jumlah trafik. BERNAMA

ADS