Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda Umno Langkawi Nor Saidi Nayan menyarankan supaya lebih banyak jawatan senator diberikan kepada pemimpin pergerakan tersebut.

"Sampai bila Pemuda mahu subur dan dan segar dengan hanya itu (pujian). Pemuda perlu diinstitusikan. Kalau Puteri diberi jawatan senator, kalau Wanita di berikan jawatan senator, bila lagi untuk Pemuda?

"Apakah lekeh sangat kami ini?. Kalau (kepimpinan) di atas (pentas) tidak mampu, bagi (kepada perwakilan) yang ada dekat bawah. Tak bolehkah beri kepada wakil Pemuda, sebagai senator?" soalnya.

Nor Saidi berkata demikian ketika berucap menyokong cadangan membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Ucapan Nor Saidi yang penuh bersemangat itu, mendapat tepukan gemuruh 795 perwakilan yang hadir.

Katanya, untuk memperkuatkan pergerakan tersebut, Pemuda harus menanamkan iltizam untuk memberi pengupayaan kepada akar umbi, terutama di peringkat cawangan.

Nor Saidi juga menegur kepimpinan Pemuda dan meminta mereka sentiasa memahami dan menyelami permasalahan Pemuda di peringkat cawangan.

"Kalau Timbalan Presiden Umno (Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh) turut ke bawah, ke tahap yang kita tidak sangka, apakah exco (Pemuda) tidak sanggup (buat) lebih dari itu.

"Pemuda datang bukan nak lihat janji-janji palsu yang dibuat selama ini. Kita perlu insaf, untuk memenangkan Umno, banyak duri dan onak diharungi. Apakah perasaan mereka difahami dan diselami?" soalnya.

Dalam ucapan itu juga, Nor Saidi mencadangkan agar harapan dan cadangan yang diutarakan Khairy dalam ucapannya, dijadikan indeks petunjuk pencapaian (KPI).

Katanya, ia sebagai menyahut cabaran Muhyiddin yang mecabar ketiga-tiga sayap Umno memperkasakan pergerakan masing-masing.

ADS