Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda Umno Selangor tetap dengan keputusannya menangguhkan rancangan mengadakan demonstrasi esok berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh mingguan Katholik, Herald.

Sebaliknya, ketuanya, Suhaimi Mohd Ghazali berkata pergerakan itu bersama Umno Selangor menghantar memorandum memohon Sultan Selangor supaya campur tangan bagi menangani isu tersebut.

'Kita hendak mencari jalan penyelesaian. Salah satu daripadanya ialah dengan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Memorandum tersebut diserahkan oleh ketua biro agama Umno Selangor, Datuk ismail Kijo.

NONE Turut menyerahkan memorandum petang ini ialah Perkasa Selangor dan juga Majlis Gabungan Sukarela Selangor.

Ismail menyerahkan memorandum Umno dan dua NGO tersebut kepada pengiring Sultan, Komander Ahmad Ramli Kardi di Istana Bukit Kayangan, diikuti dengan laungan laungan 'takbir' dan 'daulat tuanku'.

Kemudian kedengaran laungan 'usir Khalid Samad dari Selangor' dan disambut oleh sebahagian daripada mereka yang hadir.

Kira-kira 100 ahli Umno mula berkumpul sejak jam 3.30 petang dengan membawa sepanduk dan juga poster yang berbunyi 'Allah Maha Besar; Kami Menentang keputusan mahkamah; Allah itu khusus untuk umat Islam; dan Allah hanya untuk Islam.

Timbalan ketua biro agama Umno Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom yang juga pengerusi Perkasa Selangor kemudian berucap selama 15 minit.

Dalam ucapannya, beliau antaranya sependapat dengan pandangan timbalan mursyidul am PAS, Dr Haron Din dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria bahawa mereka yang redha dengan keputusan mahkamah bahawa nama Allah boleh diguna oleh orang bukan Islam, membawa kepada kekufuran.

NONE Zainal Abidin berkata, kalau diterima keputusan itu, maka ia menunjukkan "kita setuju bahawa Allah telah di turun taraf".

"Kita boleh terima nama Allah disebut tetapi bukan diperuntukkan  dalam undang-undang. Kita tidak boleh redha dalam hati," katanya.

Kira-kira 20 anggota polis berkawal di situ. Bagaimanapun perhimpunan itu berjalan dengan aman dan mereka beredar pada kira-kira jam 4.45 petang.

Ismail pula memberitahu sidang akhbar bahawa Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 menyebut mengenai perkataan yang tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dan salah satu daripadanya adalah perkataan Allah.

NONE Beliau juga berkata, Umno Selangor menyokong demonstrasi berhubung tersebut, tetapi ia diadakan mengikut bahagian.

Sebagai contohnya, katanya, Umno bahagian Ampang dan Rawang akan menganjurkan demonstrasi masing-masing.

Sementara memorandum yang diserahkan oleh dua NGO berkenaan pula meminta Sultan Selangor membawa isu tersebut ke persidangan Majlis Raja-Raja.

ADS