Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Indera Mahkota Azan Ismail berkata, beliau melepaskan jawatannya sebagai timbalan pengerusi PKR  Pahang, antaranya bagi menumpukan perhatian kepada tugas barunya di peringkat pusat.

"Saya diberikan tugas baru di peringkat pusat," katanya menjawab teka-teki sebab sebenar beliau melepaskan jawatan secara mengejut semalam.

NONE Azan bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung jawatan dan tugas baru yang bakal disandangkan dalam parti itu.

Kenyataan terbaru Azan itu dilihat sebagai usaha untuk mengendurkan ketegangan dalam PKR negeri ekoran tindakannya melepaskan jawatan semalam..

Azan semalam dilaporkan turut melepaskan jawatan pengerusi biro keahlian PKR negeri kerana kecewa dengan pentadbiran parti yang didakwa tidak mematuhi peraturan pendaftar pertubuhan serta diurus seperti sebuah syarikat perniagaan.

Beliau juga dilaporkan berkata, tegurannya berhubung pengurusan kewangan, kutipan derma dan isu 'cah keting' tidak diendahkan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Azan berkata beliau tetap berpegang dengan kenyataannya semalam kerana ia merupakan "teguran biasa."

"Itu adalah teguran biasa. Kalau tidak boleh tegur, kita tidaklah lebih baik daripada Umno," katanya yang beranggapan isu tersebut sudah selesai.

Bagaimanapun, ibarat "rumah siap, pahat berbunyi", terdapat pihak dalam Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang yang berpendapat, peletakan jawatan Azan dibuat ekoran rasa terpinggirnya dalam beberapa aktiviti parti kebelakangan ini.

Pemimpin tersebut yang tidak mahu namanya disebut berkata, selepas PKR menganjurkan konvensyen parti peringkat negeri awal minggu lalu, Azan merasakan dirinya dipinggirkan.

Katanya, Azan dilihat tidak mempunyai banyak peranan, malah tidak diberikan peluang berkongsi pentas bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam kemuncak program tersebut pada 17 Januari.

Azan bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

"Itu saya tidak dapat hendak kata apa. Kalau macam itu saya kena berusahalah (supaya tidak terpinggir)"

Sementara itu, seorang lagi timbalan pengerusi PKR Pahang, Mohd Nor Jaafar ketika dihubungi menafikan dakwaan Azan semalam.

Beliau berharap Azan dapat 'berbincang' dengan PKR negeri mengenai perkara tersebut bagi menjernihkan keadaan.

"Kalau beliau hendak bincang, kita boleh bincang. Tetapi kalau beliau hendak tegakkan benang yang basah, kita pun boleh tegakkan benang kita," katanya.

ADS