Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tahanan ISA warga asing akan dihantar pulang
Diterbitkan:  Feb 17, 2010 8:14 PM
Dikemaskini: 12:16 PM

Kesemua sembilan warga asing yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas akan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata persiapan sedang dilakukan untuk tujuan itu.

Kesemua tahanan itu berada dalam senarai paling dikehendaki bukan saja di negara asal mereka tetapi juga agensi perisikan dan anti keganasan antarabangsa, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hishammuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tarikh sebenar dan tempat  warga asing itu ditahan, mahupun nama kumpulan pengganas yang dikaitkan dengan mereka.

Beliau juga enggan mendedahkan negara asal rakyat asing tersebut.

Pada 27 Jan lepas, beliau mengesahkan bahawa 10 orang yang terdiri daripada sembilan warga asing dan seorang rakyat tempatan telah ditahan di bawah ISA kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Sementara itu diminta mengulas mengenai bantahan yang dibuat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di hadapan Suruhanjaya Tinggi Australia di sini hari ini, Hishammuddin berkata beliau menyokong pendirian kumpulan itu yang mahu

anggota Parlimen Australia tidak campur tangan dalam urusan negara ini.

Beliau berkata polis juga memantau sepanjang bantahan itu berlangsung bagi mengelakkan kemungkinan tidak diingini.

- Bernama

ADS