Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sambil menolak dakwaan sesetengah pihak yang beliau cuba mengapi-apikan semangat perkauman di negara ini, Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali sebaliknya menuduh mereka yang membuat dakwaan sedemikian adalah pengkhianat kerana menentang dasar-dasar yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

ibrahim ali perkasa Walaupun menganggap Malaysiakini sebagai 'nuisance', Ibrahim dalam bahagian kedua laporan ini berkata beliau melayan wawancara ini kerana bersikap terbuka.

Beliau turut menafikan dengan panjang lebar bahawa penglibatannya di dalam Perkasa adalah untuk meraih kesempatan politik dalam 'perjuangan Melayu' yang semakin jauh ditinggalkan oleh Umno.

Persoalan ini timbul memandangkan PERKASA dan MPM dilihat semakin galak mengambil haluan kanan yang agak estrem, manakala Umno pula semakin petah bercakap tentang 'middle ground' dan dasar-dasar yang lebih liberal dalam Model Ekonomi Baru.

Ibrahim turut mengambil peluang dalam wawancara minggu lalu, untuk membidas Malaysiakini yang dakwanya sering mensensasikan isu-isu melibatkan kaum dalam laporan.

Kenapa isu-isu Melayu perlu bawa dalam MPM?

Itu kena tanya Umno jangan tanya saya, saya NGO dan saya rasa nak main peranan untuk bela bangsa saya, jadi saya teruskan. Yang pihak lain tak buat itu tanya pihak lain.

Adakah Datuk melihat Umno gagal memperjuangkan isu ini?

Tak ada kena mengena. Saya tidak mahu komen. Itu pandangan kita masing-masing. Pada Umno, Umno berjaya. Pada perdana menteri, mungkin dia berpendapat apa yang dia buat sekarang ini berjaya. Cuma, apa yang NGO buat ini adalah untuk tambah nilai ke arah yang lebih baik lagi.

Biasanya pemuda Umno yang tampil menjadi pendesak bagi isu-isu bersabit kepentingan Melayu.

Itu kena tanya pemuda Umno lah, tak ada kena mengena dengan saya.

Datuk cuba ambil kesempatan?

Tak ada (ambil kesempatan). Saya sebagai seorang pejuang, sebagai ahli politik sepanjang masa saya berjuang untuk bangsa saya di mana saja berada.

Jadi saya buat ini tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun. Ini soal hati nurani kita, soal kesedaran kita. Persepsi orang macam-macam. Bila kita buat ada yang cemburu, bila kita berjaya ada yang dengki, kemudian ada yang buat berbagai-bagai tafsiran, seperti soalan anda tadi.

Itu pun soalan yang boleh memberi tafsiran yang salah. Saya tidak kisah semua itu dan semua orang berhak membuat sumbangan dan saya membuat sumbangan dengan cara yang ikhlas, tak ada kena mengena sebab orang itu tidak buat atau orang ini tidak buat.

Dari dulu lagi kita berjuang untuk agama bangsa dan negara jadi tidak timbul sebab yang disebutkan tadi.

Berjuang sebab Melayu tergugat?

Memang. Tergugat itu dalam inverted comma lah, maknanya dicemuh dan dihina seperti yang keluar dalam website , termasuklah Malaysiakini dalam portal Internet, dalam Facebook . Semuanya kata kita rasis, mereka tidak rasis?

Dia orang yang rasis sebab apa yang mereka tuntut bertentangan dengan dasar kebangsaan. Tengok mereka tuntut mengenai hal-hal pendidikan Cina. Itu bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan. Itu yang rasis.

Mereka menuntut mempelbagaikan budaya, itu bertentangan dengan budaya kebangsaan. Maknanya (mereka mahu) kita semua bebas segala-galanya, ada seolah-olahnya nak letakkan agama Islam itu sama dengan agama mereka, bahasa Melayu sama dengan bahasa lain, kemudian kedudukan raja-raja Melayu.

Ini, asas perlembagaan negara diusik, disentuh. Kita macam Perkasa  pun kita berjuang dalam ruang lintup dan dijamin perlembagaan.

Macam mereka minta bantuan sekolah vernakular, minta tambah minta pengiktirafan, semua ini tidak ada dalam perlembagaan dan bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan.

Ini sudah dilindungi dalam perlembagaan, kenapa perlu diperjuangkan lagi?

Kerana ada pihak yang usik. Kerana ada pihak yang macam hendak rombak, ada pihak cabar. Macam MPM dan Perkasa, kita menjadi benteng. Kita nak tengok macam mana lagak Ziao Dong (Dong Jiao Zong), apa lagak Hindraf dulu (sekarang diharamkan), apa tuntutan mereka.

Kalau tuntutan mereka bertentangan dengan perlembagaan, kita jadi benteng. Sesiapa juga yang ingin sentuh soal perlembagaan, kita juga akan jadi benteng. Pasa masa sama kita jadi watchdog (badan pemerhati kerajaan ). Maknanya memberi tekanan atau pressure yang berhemah kepada kerajaan kerana kita tengok ada dasar-dasar yang cuba hendak lari daripada apa yang ditegakkan dalam perlembagaan. Ini peranan kita.

Datuk tak takut Perkasa diharamkan?

Itu terpulang kepada kerajaan. Itu bergantung kepada kegiatan kita, adakah kegiatan kita sekarang mengancam keselamatan? Kita didaftarkan, kita buat cara terbuka dan apa yang kita cakapkan itu ada dalam perlembagaan.

Adakah kita bercakap tentang kerakyatan atau untuk halau sesetengah kaum keluar daripada Malaysia ini? Tak pernah.

Sampai hari ini saya tidak pernah terima apa-apa laporan polis bersabit ucapan saya. Orang lain dah banyak. So what ?

Malaysiakin i inilah yang banyak mencetuskan kegelisahan orang ramai. Kalau ikutkan saya tidak mahu layan, tapi saya bersifat terbuka. Nuisance . Sebab ada yang disiarkan itu memang tidak ada tanggungjawab.

You kena baca perlembagaan kita, sebab kita takut berlaku perkara yang tidak baik kepada negara, apabila (kekacauan) berlaku, tak ada gunanya semua (perbincangan) ini. Sebab itu kita letakkan perlembagaan paling utama.

Perkauman adalah isu yang paling mudah berlaku, kalau kita tidak pandai tangani. Sekarang ini tulisan ucapan, cemuhan, macam-macam yang keluar melalui website ini.

Jadi MPM sebenarnya hendak meredakan api perkauman, bukan mengembusnya lagi?

Reda atau tidak, soalnya ialah apa yang terkandung dalam perlembagaan. Kita percaya jika apa yang kita pertahankan dalam perlembagaan itu dikukuhkan dan semua pihak menyokong, ia akan membantu ke arah keamanan dan perpaduan negara.

Kenapa kelompok Melayu sering berdemonstrasi sekarang?

Kerana mereka merasakan itu adalah hak mereka, jadi mereka turunlah ke jalan-jalan raya. Kita tak ada lagi sampai ke peringkat itu.

Jadi apa yang akan dibuat oleh MPM?

Dia punya modus operandi, MPM ini dia tidak ada ketua. Dia akan ada sekretariat, kemudian bergantung kepada isu. Katalah sekarang ini mengenai model ekonomi baru. Jadi sekretariat akan keluarkan notis untuk adakan perbincangan meja bulat untuk brainstorming dan curahkan buah fikiran untuk hasilkan satu cadangan kepada kerajaan.

Contohnya sebelum ini timbul isu kalimah Allah, jadi kita tengok NGO itu cakap begitu dan begini, jadi sekretariat akan keluarkan notis, kita panggil semua NGO ini berbincang dan cari apa pendirian bersama kita.

Maknanya kita akan buat pendirian dan tindakan bersama atas satu suara.

Perbincangan ini terbuka dan boleh dilaporkan media?

Tidak boleh lapor, kita buat secara tertutup. Kecuali lepas habis sesi ini baru kita akan adakan sidang akhbar, tetapi tidak boleh lapor. Kita buat tertutup kerana nanti (bimbang) akan jadi lebih sensitif.

Minta Datuk jelaskan insiden wartawan dihalau dari sebuah majlis MPM.

Itu tak ada keputusan untuk halang dia, tapi inilah puncanya. Bila dah jadi macam perkauman, bila ada orang-orang India yang tulis artikel bersabit dengan hukum sebat, menyentuh Islam sedangkan dia bukan Islam, jadi bagi orang Melayu dan Islam, dia tengok orang Hindu pun dia jadi curiga. Inilah puncanya, sebab itu kita kena jaga-jaga.

Kenapa soal Melayu dan Islam perlu dibincangkan secara tertutup seolah-olah ingin disembunyikan daripada pengetahuan umum?

Kalau masih di peringkat perbincangan, ada sesetengahnya ada pandangan yang tidak cukup bukti, tidak cukup fakta. Jadi bila dilaporkan akan memberi gambaran yang salah. Mungkin juga perkara yang disebut itu sensitif. Yang penting sekarang ini adalah untuk melihat hasil (perbincangan). Laporkan hasil sajalah. Masa pembedahan itu hendak lapor buat apa. Bila sudah jahit semua nanti pergilah tengok.

Kalau boleh dilakukan secara sistematik, kenapa masih timbul soal curiga?

Kita cuma hendak precautious sahaja. Kalau kita buat secara terbuka, ramai pula yang akan masuk, dan tak semua media ini bertanggungjawab, termasuk Malaysiakini .

(Kita bimbang) Anda akan laporkan apa yang anda inginkan sahaja. (Pemberita) tidak apalah, tapi (pemunya) Malaysiakini ini siapa? Kalau ada (perbincangan) yang menyentuh perkauman, ini yang akan dijadikan isu.

Datuk gunakan NGO untuk karier politik?

Siapa yang kata, lantak dialah. Saya peduli apa? Itu persepsi dia. Saya nak guna untuk politik kenapa sebab saya memang ahli parlimen. Apa perlunya saya (gunakan) NGO lagi.

Sebelum inipun ada NGO lain yang saya jadi ahli. That is what I call a dirty question. Just to provoke and ridicule saya. Cuma hendak lagakan saya (dengan Umno).

Tak takut ditahan lagi bawah ISA?

Saya tidak ada masalah. Saya sokong ISA dan saya pernah kena (tahan) ISA tapi saya tidak merungut, sebab saya bukan jenis manusia yang baling batu sembunyi tangan. Whatever I do I will be responsible.

Soal ISA pada saya itu soal keamanan negara. Kita sebagai seorang pejuang, kalau kita yakin dengan apa yang kita buat, kita buatlah. Kemudian kalau kita kena ISA, janganlah merungut.

Hubungan dengan Mahathir?

Hubungan kita biasa. Kita jemput dia sekali-sekala sahaja untuk majlis sahaja. Funding tidak ada, ini semua duit derma orang ramai. Habis Malaysiakini ini siapa yang funding , cuba you cakap. I am a sincere man, you don't play the fool with me.

ADS