Laporan Harakahdaily cetus spekulasi mursyidul am

Jimadie Shah Othman        

Gara-gara laporan Harakahdaily - laman web berita rasmi PAS - mengenai hasil mesyuarat pertama majlis syura ulamanya malam kelmarin, tercetus spekulasi mendebarkan mengenai kedudukan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai mursyidul am - jawatan tertinggi dalam parti Islam itu.

Semuanya bermula apabila Harakahdaily melaporkan, mesyuarat pertama bagi sesi baru Majlis Syura Ulama PAS - badan tertinggi parti akan memilih mursyidul amnya bagi mempengerusikan majlis itu.

NONE Bagaimanapun, pada hari berikutnya,  laman web berkenaan melaporkan bahawa pemilihan mursyidul am tidak dibuat, sebaliknya majlis tersebut hanya melantik lima anggota tambahan.

Sebelum ini, Majlis Syura Ulama PAS tersebut mempunyai 12 anggota - iaitu empat wakil jawatankuasa pusat, empat wakil dewan ulama dan empat anggota lantikan.

Bagaimanapun, pada sesi baru ini, jumlahnya ditambah menjadi 17 menerusi pelantikan masing-masing dua wakil Dewan Pemuda dan Muslimat, serta seorang lagi anggota lantikan.

Laporan tersebut telah menimbulkan tanda tanya mengapa pelantikan mursyidul am tidak dibuat. Di samping itu, Harakahdaily juga melaporkan empat lagi anggota dilantik tetapi nama mereka tidak didedahkan oleh pihak parti.

Ia juga melaporkan bahawa Nik Aziz dan timbalannya Datuk Dr Haron Din tiada masalah untuk dilantik semula bagi mengisi jawatan masing-masing.

“Perlembagaan PAS tidak mempunyai sebarang halangan untuk melantik mereka semula,” laporan tersebut dipetik.

Akhbar: Kami tidak ditekan

Spekulasi itu disemarakkan lagi ekoran tindakan Nik Aziz yang sering dilihat tidak sependapat berhubung beberapa pemimpin kanan parti itu termasuklah presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terutamanya dalam isu kerajaan perpaduan PAS-Umno.

Perkembangan itu menjadi lebih menarik apabila Harakahdaily mengeluarkan laporan tersebut yang berjudul 'Majlis syura lantik empat anggota' pada sebelah petang semalam, selepas hampir separuh hari disiarkan.

Ketua pengarangnya Zulkifli Sulong ketika dihubungi semalam bagaimanapun menjelaskan bahawa berita itu tidak dibuang tetapi sedang ‘dikemaskini’ untuk disiarkan semula.

“Kami tidak mendapat tekanan atau aduan daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditanya berhubung perkara itu.

mahfuz omar 01 Versi kemaskininya berjudul ‘Majlis syura lantik lima anggota baru’ disiarkan semula selepas itu, yang turut memetik kenyataan naib presidennya Datuk Mahfuz Omar bahawa beliau difahamkan, Nik Aziz adalah antara lima orang anggota lantikan tersebut.

Ketika dihubungi sekali lagi hari ini,  Zulkifli mengakui tersalah membuat jangkaan dalam laporan pertamanya kerana menyangka pelantikan mursyidul am akan dibuat dalam mesyuarat pertama sebelum itu.

Bagaimanapun, tambah Zulkifli, pihaknya difahamkan bahawa ia boleh juga dilantik pada mesyuarat berikutnya. Versi kemaskini itu juga menyebut lima anggota lantikan, bukan empat orang seperti yang dilaporkan sebelumnya.

Haron Din juga sah dipilih

Sementara itu, seorang lagi naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi berkata, mesyuarat majlis tersebut sebelum ini hanya membincangkan agenda pelantikan lima anggota tambahan sahaja.

dr haron din pas Beliau sebagai anggota majlis tersebut juga mengesahkan pelantikan Nik Aziz dan Dr Haron mengganggotai majlis tersebut.

“Ini bukanlah rahsia. Tetapi kita tidak umumkan sebab ia belum disahkan (dalam mesyuarat),” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau juga berharap semua pihak dapat mengelakkan spekulasi dan menunggu mesyuarat tersebut membuat lantikan baru pada Isnin akan datang.

Spekulasi mengenai kedudukan Nik Aziz itu menarik perhatian ramai ekoran timbul desas-desus yang tersebar di dunia siber bahawa kononnya nama beliau tidak tersenarai dalam rombakan besar exco kerajaan negeri Kelantan, yang disebut-sebut bulan depan.

Bagaimanapun beberapa exco-exco Kelantan ketika dihubungi Malaysiakini pada 16 Mac lalu menafikann khabar angin tersebut.

Kedudukan Nik Aziz kini dilihat masih belum jelas dan bergantung kepada sokongan 16 lagi anggota majlis tersebut yang akan menentukan nasibnya sama ada akan dilantik semula ke jawatan itu.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In