Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hormati kuasa mutlak Raja Melayu dalam agama
Diterbitkan:  Apr 22, 2010 3:32 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Raja-Raja Melayu memiliki kuasa mutlak dalam urusan agama Islam dan Adat Melayu di semua negeri dan sempadan pembahagian kuasa itu perlu dipatuhi oleh semua pihak.

judges conference 090408 raja nazrin Oleh itu, titah baginda, pandangan dan pendirian Raja-Raja Melayu perlu terlebih dahulu dirujuk dalam apa juga perkara berkaitan Agama Islam dan Adat Melayu sebelum sesuatu fatwa, dasar, arahan pentadbiran atau penubuhan sebarang institusi diputuskan atau diumumkan.

"Jika prinsip asas ini mula diketepikan, adalah dibimbangkan ia berpotensi menjadi pencetus kepada salah faham, kekeliruan dan pergeseran di antara pelbagai pihak yang bertanggung jawab," titah baginda pada perasmian persidangan ke-171 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di Ipoh hari ini.

Raja Nazrin bertitah bahawa Raja-Raja Melayu wajib dilibatkan di peringkat awal sebelum sesuatu perkara menyentuh Agama Islam dan Adat Melayu mahu dilakukan.

"Janganlah pandangan Raja-Raja Melayu itu hanya dirujuk dan dipohonkan restu sokongan apabila masalah dan polemik telah berlaku," titah baginda.

Baginda menjelaskan bahawa kuasa seorang Raja Pemerintah dalam urusan Agama Islam dan Adat Melayu tidak pernah diserahkan kepada mana-mana pihak lain termasuk ketika negeri-negeri di Tanah Melayu berada di bawah pengaruh pentadbiran British dan semasa penjajahan Jepun.

conference of rulers majlis raja raja Demikian pula selepas negara mencapai kemerdekaan, urusan Agama Islam dan Adat Melayu kekal di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah di negeri masing-masing, titah baginda.

"Prinsip ini hendaklah terus dihormati. Sempadan pembahagian kuasa tersebut hendaklah senantiasa dipatuhi," titah baginda.

Mengenai peranan MAIAMP, Raja Nazrin bertitah salah satu daripada tugas utama Majlis adalah bagi membantu tanggungjawab Sultan Perak dalam hal ehwal Agama Islam dan Adat Melayu di Perak.

"Kuasa mutlak Paduka Seri Sultan dalam urusan Agama Islam dan Adat Melayu dalam sesebuah negeri hendaklah terus dipertahankan," titah baginda.

Dalam pada itu, Raja Nazrin turut menegaskan bahawa Islam yang dihayati di peringkat pengetahuan dan diterapkan secara berkesan di peringkat pelaksanaan berperanan penting untuk mencerminkan budaya urus tadbir, budaya kerja dan budaya pemerintahan yang adil, saksama, telus lagi cekap.

- Bernama

ADS