Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakatan gesa menteri, IGP, KPN S'gor mohon maaf
Diterbitkan:  Apr 29, 2010 5:16 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Pemuda Pakatan Rakyat  hari ini menggesa menteri dalam negeri, ketua polis negara (IGP) dan ketua polis negeri (KPN) Selangor  memohon maaf secara terbuka kepada keluarga allahyarham Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis Isnin lalu.

Di samping itu, Pemuda Pakatan juga menggesa supaya sebuah suruhanjaya bebas diwujudkan untuk menyiasat kes tersebut pada kadar segera.

Pergerakan itu juga menggesa Pemuda Umno-BN dan badan-badan pro-Melayu seperti PERKASA supaya menyatakan ketetapan mereka mengenai apa yang menimpa allahyarham Aminulrasyid.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, gesaan tersebut dibuat dengan solidiriti Dewan Pemuda PAS pusat dan Pemuda Sosialis DAP di bawah panji-panji Pemuda Pakatan Rakyat.

Sambil menyuarakan kekesalannya dengan insiden yang menimpa pelajar berusia 15 tahun itu, Shamsul Iskandar turut mendakwa ia berlaku dalam keadaan di mana kes  Norizan Salleh dan allahyarham Tawfiq Noorzan masih gagal diselesaikan oleh pihak polis dan KDN.

"AMK melihat pihak polis seolah-olah tidak belajar daripada kesalahan yang lepas. Justifikasi yang memuaskan secara berterusan gagal diberikan," katanya.

Menurutnya lagi, rentetan kes yang berlaku iu jelas menunjukkan keperluan kerajaan menyegerakan kewujudan IPCMC sebagaimana yang didesak oleh Pakatan Rakyat sekian lama.

Shamsul berkata Pemuda Pakatan Rakyat juga akan membawa kes Aminulrasyid ke perhatian Suruhanjaya Hal Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Isnin ini.

Pertemuan dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang dan turut disertai beberapa NGO yang lain.

ADS