Tahanan rumah Najib: KDN ikut nasihat AGC, kata Saifuddin
Kementerian Dalam Negeri akan mematuhi nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mahkamah memberikan penjelasan berhubung butiran pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata demikian ketika AGC dan peguam Najib saling berbalah berhubung perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan selepas Najib menjelaskan denda RM50 juta.
Perintah itu pada awalnya dijangka membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan, namun gesaan AGC supaya sebarang tindakan sedemikian ditangguhkan sementara serta-merta menjejaskan rancangan kepulangan Najib dari Penjara Kajang ke kediamannya.
Bercakap kepada pemberita di Kedah hari ini, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri merujuk perintah pelepasan Mahkamah Tinggi itu kepada AGC sebaik sahaja Najib membayar denda berkenaan bagi memastikan terdapat “kejelasan” mengenai pelaksanaan perintah tersebut.
"Jadi, seperti yang kita sedia maklum, ada satu pandangan undang-undang diberikan oleh Peguam Negara. Kemudian ada respons balas daripada peguam Datuk Seri Najib.
"Kalau ada perbezaan begitu, seperti mana nasihat Peguam Negara, pentafsiran yang terbaik harus dibuat di mahkamah.
"Apa pun keputusan, pihak KDN khususnya Jabatan Penjara akan melaksanakan sesuai dengan arahan undang-undang,” katanya.
Menurut Saifuddin, pihak kementerian telah melakukan semua perkara untuk melaksanakan apa juga keputusan, baik di peringkat Lembaga Pengampunan ataupun di peringkat arahan mahkamah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/f37bd2e4e00ab3e38bdf0f098b456068.jpg)
Terdahulu hari ini, AGC menafikan pihaknya ingkar terhadap pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong kepada Najib, sebaliknya menegaskan bahawa perintah pelepasan Mahkamah Tinggi itu membawa dua implikasi undang-undang berbeza berhubung hukuman Najib.
AGC menegaskan bahawa perkara itu menimbulkan persoalan undang-undang yang tidak sepatutnya diputuskan secara sepihak.
Menurut AGC, jabatan itu berpandangan bahawa penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil.
"Penangguhan sementara ini bukan bertujuan untuk mempertikaikan atau mengetepikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya merupakan langkah bagi memastikan titah tersebut dan perintah mahkamah yang berkaitan dilaksanakan dengan tepat, teratur dan selaras dengan kedudukan undang-undang sebenar,” menurut AGC dalam satu kenyataan.
Berikutan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bertitah bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan pengampunan bersyarat terhadap Najib boleh dianggap sebagai ingkar terhadap titah baginda.
Peguam cabar keputusan AGC
Peguam Najib sebelum ini membangkitkan bahawa Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, merupakan anggota Lembaga Pengampunan dan menghadiri mesyuarat pada 18 Sept yang membawa kepada pemberian pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Peguam Najib turut menggesa Jabatan Penjara mempercepatkan pembebasan anak guam mereka untuk menjalani tahanan rumah dengan menegaskan bahawa tiada asas bagi pihak berkuasa berkaitan untuk terus menahan Najib di Penjara Kajang.
Peguam itu juga berkata sebelum AGC menyuarakan kebimbangannya, Saifuddin sudah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 untuk mengisytiharkan kediaman Najib seluas 4,558.97 meter persegi (49,072 kaki persegi) di Jalan Langgak Duta sebagai penjara.
“Justeru, tidak masuk akal bagi AGC untuk pada hari yang sama apabila warta mengisytiharkan kediaman anak guam kami sebagai penjara, bertegas bahawa beliau perlu kekal di Penjara Kajang sementara menunggu penjelasan.
“Apa juga kebimbangan AGC berhubung kesan pengampunan itu, ia bukan alasan untuk terus menahan anak guam kami di sebuah penjara dan bukannya di penjara yang satu lagi,” menurut kenyataan Tetuan Shafee & Co malam tadi.
Now the guy who is part of the speaks!!
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/SaifuddinNasutionIsmaildfds_146292.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.