Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan pengampunan bersyarat terhadap bekas perdana menteri Najib Razak boleh menjurus sebagai perbuatan mengingkari perintah seri paduka baginda.

Titah itu dikeluarkan baginda hari ini susulan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam yang memohon supaya pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguhkan serta-merta, sementara menunggu penjelasan berhubung persoalan undang-undang berkaitan pengampunan bersyarat itu.

Nasihat AGC itu dibuat beberapa jam selepas peguam Najib menyelesaikan pembayaran denda RM50 juta bagi membolehkan bekas presiden Umno itu menjalani tahanan rumah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan istana negara, seri paduka baginda menegaskan bahawa kuasa memberikan pengampunan merupakan prerogatif diraja seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Pelaksanaan kuasa tersebut hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

"Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong," titah baginda.

Dalam pada itu Sultan Ibrahim bertitah bahawa Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar turut menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 Sept dan turut memberikan nasihat yang sewajarnya kepada baginda mengenai pelsaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

Mohd Dusuki Mokhtar

"Perintah pengampunan bersyarat ini adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau (Najib).

"Tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran dan tidak sepatutnya menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan," titah baginda.

AGC semalam berkata, terdapat dua tafsiran mengenai perintah pengampunan yang mensyaratkan Najib membayar denda RM50 juta sebelum menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Pertama, pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028. Berdasarkan interpretasi ini, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara tersebut dan bukannya penamatan hukuman penjara; dan

Bagaimanapun, menurut tafssiran kedua, pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, yang membawa kesan bahawa keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap telah selesai.

AGC berkata satu lagi persoalan mengenai status baki hukuman penjara bagi kes SRC International turut mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara ke atas Najib bagi kes 1MDB.

Ia khususnya berhubung perintah mahkamah yang menetapkan bahawa hukuman bagi kes 1MDB hendaklah bermula selepas selesai hukuman penjara bagi kes SRC International.

Kenyataan itu mengundang bantahan peguam Najib yang turut menegaskan bahawa Peguam Negara Dusuki Mokhtar merupakan anggota Lembaga Pengampunan dan hadir dalam mesyuarat lembaga itu pada 18 Sept untuk memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Najib daripada firma Shafee & Co berkata pendirian AGC itu boleh dianggap sebagai menghina mahkamah atau derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka mendesak Jabatan Penjara mempercepatkan pembebasan Najib untuk menjalani tahanan rumah, selain mencabar AGC membawa persoalan berhubung pengampunan bersyarat itu ke mahkamah.