Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bukan Islam: Tak perlu tanding kalau tak efektif
Diterbitkan:  Jun 12, 2010 5:22 PM
Dikemaskini: 3:24 PM

Walaupun telah mendapat 'lampu hijau' untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, penyokong bukan Islam PAS masih enggan membuat perkiraan awal mengenai jumlah kerusi yang mahu ditandingi.

"Kalau memang kerusi tetapi tidak dapat perintah (negara), itu tidak efektif.

"Kalau beri 100 kerusi (pada kita) tetapi hanya menang tiga sahaja, itu tidak bermakna," kata Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chow ketika ditanya jumlah kerusi yang mahu dipohon dewannya.

Hu menjelaskan, buat masa ini, anggota dewannya tidak memikirkan lagi berhubung pembahagian kerusi sebaliknya mahu memfokuskan kepada usaha menarik sokongan pelbagai pihak kepada parti Islam itu.

Beliau juga memberikan analisis menarik tentang penubuhan dewan baru parti itu yang menurutnya membantu "mendapatkan sokongan orang Melayu terhadap PAS", berbeza dengan kerungsingan beberapa perwakilannya sebelum ini.

"Dewan Himpunan PAS memberikan imej baru kepada PAS, menunjukkan ia parti yang inklusif kepada semua rakyat yang menepati ajaran Islam yang mementingkan keadilan dan keharmonian," kata ahli perniagaan itu.

"Kami juga akan dapat membantu salurkan maklumat ini kepada orang Melayu."

Menjelang pilihan raya umum akan datang, Hu juga memberitahu Malaysiakini pihaknya akan mula mengadakan ceramah di kawasan Melayu bagi membantu mengekal sokongan penyokong PAS.

Semalam, ketika membahasakan ucapan dasar presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terdapat perwakilan yang menzahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan sokongan orang Melayu.

Perwakilan Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau risau dengan keghairahan PAS mendapatkan sokongan bukan Islam dan pengundi baru menyebabkan sokongan tradisinya merosot, yang diibaratkan sebagai "lupa pada bini tua".

ADS